KUALA LUMPUR 27 Jan - TA Securities menyemak naik pendapatan Pantech Group Holdings Bhd antara 22.9% hingga 25.1% bagi FY25 hingga FY27 didorong perkembangan segmen perdagangan.
Katanya, prestasi segmen perdagangan yang lebih kukuh daripada jangkaan diorong peningkatan hasil daripada pengukuhan penghantaran jualan dalam industri minyak dan gas (O&G) tempatan serta pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) disebabkan kos operasi yang lebih rendah.
Firma penyelidikan itu berkata, perbelanjaan modal global dalam sektor O&G diunjurkan kekal berdaya tahan, dengan pelaburan yang mampan dalam penyelenggaraan kemudahan, naik taraf dan projek pembangunan, disokong oleh harga minyak yang stabil.
Aliran itu berkemungkinan meningkatkan permintaan untuk produk dan perkhidmatan berkaitan di seluruh dunia.
"Bagi bahagian dagangan, kami melaraskan andaian margin operasi kami sebanyak 3% dan pertumbuhan hasil sebanyak 4%, mencerminkan prestasi kukuh pada 3QFY25 dan arah aliran ini sehingga FY27," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih teras Pantech pada 9MFY25 sebanyak RM91.3 juta mencapai 92% daripada anggaran tahun penuh kami dan 82% daripada ramalan konsensus
EBIT segmen perdagangan meningkat dengan ketara sebanyak 42.9% dari tahun ke tahun, didorong penghantaran jualan yang lebih tinggi kepada industri minyak dan gas tempatan serta campuran produk yang lebih baik.
Bagaimanapun, segmen pembuatan merekodkan EBIT yang lebih rendah (-16.9%) terutamanya disebabkan kerugian yang ditanggung oleh kilang pembuatan luar negara.
Selaras dengan ramalan pendapatan yang disemak, TA Securities mengekalkan ramalan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.28 sesaham. - DagangNews.com








