TA Securities saran ‘jual’ saham Bermaz, MBM Resources dan Sime Darby, TIV 2026 diunjur susut 8.6% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities saran ‘jual’ saham Bermaz, MBM Resources dan Sime Darby, TIV 2026 diunjur susut 8.6%

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 FebTA Securities mengekalkan penarafan 'underweight' ke atas sektor automotif dengan mengulangi saranan ‘jual’ terhadap tiga saham syarikat terbabit yang di bawah liputannya.


Harga sasaran (TP) Bermaz Auto Berhad ditetapkan 57 sen, MBM Resources Berhad (TP: RM4.60) dan Sime Darby Berhad (TP: RM1.97) berikutan persaingan harga semakin sengit dijangka menekan margin untung.


Firma penyelidikan itu menjangkakan jumlah volum industri (TIV) 2026 merosot kepada 750,000 unit, susut 8.6% tahun ke tahun (YoY), susulan permintaan gantian yang lemah, dan penyusutan tempahan lama.


"Selain itu kami mendapati perbelanjaan pengguna lebih berhati-hati serta persekitaran harga yang mencabar susulan peningkatan penembusan kenderaan elektrik (EV)," kata TA Securities dalam notanya.


Jelasnya, menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV bagi Januari 2026 merosot 29.1% bulan ke bulan (MoM) kepada sebanyak 64,300 unit berbanding paras rekod 90,700 unit pada Disember 2025.


Penyusutan secara mendadak itu kata firma berkenaan, disebabkan aktviti pembelian lebih awal pada Disember tahun lalu apabila pembeli mempercepatkan penghantaran sebelum penutup tahun tersebut. 


Bagaimanapun tambah TA Securities, jualan kenderaan penumpang turun kira-kira 27.4% kepada 60,400 unit, manakala kenderaan komersial susut lebih ketara sebanyak 48.1% kepada sebanyak 3,900 unit.


"Secara YoY, TIV pada Januari 2026 namun meningkat kira-kira 28.7% disokong permintaan kukuh kenderaan penumpang (+29.8%) serta peningkatan jualan kenderaan komersial (+14.3%)," jelasnya.


Keadaan berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, didorong kesan daripada limpahan tempahan banyak model baharu yang dilancarkan hujung 2025, dan menjangka jualan Februari 2026 lebih perlahan.


Situasi tersebut kata TA Securities, berikutan bilangan tempoh bekerja yang lebih pendek iaitu 17 hari sahaja bersempena dengan perayaan Tahun Baharu Cina sebelum kembali normal pada bulan berikutnya.


Dalam segmen nasional, jualan kenderaan penumpang turun 9.2% MoM kepada 45,900 unit, manakala jumlah jualan Perodua merosot 29.5% kepada 26,100 unit selepas lonjakan penghantaran hujung tahun.


"Sebaliknya, Proton Holdings Berhad muncul sebagai 'titik terang' apabila jualannya melonjak kira-kira 46.4% MoM kepada sebanyak 19,800 unit, iaitu jualan bulanan tertinggi dalam tempoh 15 tahun," katanya.


Model Saga jelas TA Securities, kekal teratas iaitu 10,285 unit, diikuti e.MAS 5, X50 dan S70, manakala jenama nasional meningkat 39.3%, disokong lonjakan 103.9% oleh Proton dan 12.4% oleh Perodua.


Sebaliknya tambah firma penyelidikan tersebut, jualan kenderaan penumpang bukan nasional menjunam kira-kira 55.6% MoM kepada 14,500 unit susulan normalisasi selepas promosi agresif Disember 2025.


Antara yang berdaya tahan ialah Mazda Motor Corporation, dengan penyusutan lebih kecil 14.9% MoM dan pertumbuhan 29.4% YoY, dipacu permintaan model kenderaan utiliti sukan seperti Mazda CX-5.


"Secara keseluruhan, walaupun prestasi pertumbuhan kukuh, momentum itu dijangka sederhana dalam tempoh terdekat dengan tekanan margin akibat perang harga," katanya. - DagangNews.com