KUALA LUMPUR 7 Mei - Kenderaan elektrik (EV) model import sepenuhnya (CBU) yang berharga rendah dijangka semakin sukar menembusi pasaran Malaysia bermula 1 Julai 2026, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan itu merujuk syarat baharu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) yang menetapkan nilai minimum, serta kuasa motor lebih tinggi untuk model import tersebut.
Katanya, perubahan dasar berkenaan dilihat sebagai berpotensi mengubah landskap industri EV tempatan dengan memberi banyak kelebihan kepada pemain pemasangan tempatan (CKD) selepas ini.
“Kami melihat semakan dasar ini sebagai positif kepada syarikat yang ada pendedahan kepada CKD kerana dapat mengurangkan tekanan harga dalam pasaran EV domestik,” jelas analisis TA Securities.
MITI semalam memaklumkan mulai 1 Julai 2026, semua EV CBU perlu memenuhi dua syarat utama iaitu nilai minimum kos, insurans dan pengangkutan (CIF) RM200,000 dan kuasa motor minimum 180kW.
Mengulas lanjut kata firma itu, langkah ini secara tidak langsung meningkatkan halangan kemasukan bagi semua EV import berharga murah yang sebelum ini mendominasi pasaran segmen bawah RM200,000.
Tambah TA Securities, persaingan dalam pasaran EV Malaysia sejak dua tahun kebelakangan ini menjadi semakin sengit akibat strategi harga agresif terutama dari kalangan pengeluar EV China.
"Bagaimanapun, kami masih lagi berpandangan yang dasar baharu itu juga boleh menimbulkan cabaran jangka pendek kepada kadar penerimaan EV mampu milik dalam kalangan pengguna tempatan," ujarnya.
Jelasnya, permintaan pengguna dalam segmen EV pasaran massa sebenarnya sangat sensitif terhadap harga berikutan kos sara hidup yang tinggi dan perbelanjaan isi rumah semakin lebih berhati-hati.
Menurut TA Securities, kekurangan pilihan EV import berharga murah boleh memperlahankan momentum penggunaan EV di Malaysia yang ketika ini masih rendah berbanding negara serantau yang lebih maju.
Artikel berkaitan: Kerajaan naikkan syarat kemasukan kenderaan elektrik import, harga bermula RM200,000

Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan pasaran EV tempatan akan terbahagi kepada dua segmen utama iaitu EV import premium dan EV pemasangan tempatan untuk jualan pasaran massa.
"Model pertengahan mungkin menjadi kurang menarik apabila syarat minimum CIF menyebabkan harga runcit naik ketara selepas diambil kira cukai, duti, kos logistik dan margin pengedar," katanya.
Sementara itu, dari sudut syarikat di bawah liputan TA Securities, Sime Darby Berhad dijangka berdepan tekanan jangka pendek susulan pendedahan besar kepada model EV import BYD di Malaysia.
Kebanyakan model itu berkemungkinan tidak memenuhi syarat baharu MITI termasuk Atto 3 yang hanya mempunyai kuasa motor sekitar 150kW selain harga jualannya berada di bawah paras ditetapkan.
Ujarnya, model EV import dengan kuasa lebih rendah dan harga yang amat murah dikhuatiri menghadapi kesukaran untuk terus layak dijual di bawah kerangka baharu MITI bermula pada awal Julai depan.
"Namun begitu, kesan jangka panjang terhadap Sime Darby dijangka dapat dikurangkan sekiranya BYD bertindak mempercepatkan pelan kerja pemasangan EV tempatan di Malaysia," jelas TA Securities.
Dalam pada itu, ia berpandangan impak terhadap Bermaz Auto Berhad dan MBM Resources Berhad masih terkawal kerana prestasi dua syarikat itu disokong model enjin pembakaran dalaman (ICE) dan CKD.
Firma itu menambah, bagi MBM Resources, pengurangan persaingan daripada EV import murah dijangka memberi persekitaran positif kepada strategi EV pasaran massa terutama Perodua pada masa depan.
Secara keseluruhan, TA Securities melihat perubahan dasar terkini MITI itu sebagai isyarat jelas kerajaan untuk memperkukuhkan lagi agenda penyetempatan dan pembangunan industri EV domestik.
"Justeru, kami mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap keseluruhan sektor automotif dengan jumlah volum industri (TIV) 2026 diunjur 750,000 unit, susut 8.6% daripada 2025," katanya.
Pada masa sama, ia turut mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Sime Darby dengan harga sasaran (TP) RM2.10, manakala Bermaz Auto (84 sen) dan MBM Resources (RM4.70). - DagangNews.com








