KUALA LUMPUR 23 Dis - TA Securities mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sunway Construction Group Berhad dengan harga sasaran (TP) RM6.31, disokong oleh momentum perolehan kontrak kukuh.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek pertumbuhan berterusan dalam sektor pusat data (DC) dan infrastruktur mega turut menjana hasil kumpulan pembinaan tempatan berkenaan di negara ini.
Ini termasuk kejayaan anak syarikatnya, Sunway Construction Sdn Bhd meraih kontrak kerja tapak bernilai RM386 juta daripada sebuah syarikat teknologi multinasional berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
"Tender ini juga dipercayai melibatkan pembangunan DC, dengan kemenangan kontrak kelima bagi FY25, menjadikan jumlah perolehan kontrak baharu setakat ini mencecah RM4.9 bilion," kata TA Securities.
Jumlah tersebut jelasnya, mewakili 98% daripada unjuran firma itu bagi FY25 dan 89% daripada had atas sasaran pengisian semula buku tempahan pengurusan antara RM4.5 bilion hingga RM5.5 bilion.
Bagaimanapun, ia berpandangan Sunway Construction berkemungkinan tidak mencapai had atas sasaran tersebut memandangkan tahun kewangan 2025 semakin menghampiri ke penghujungnya akhir bulan ini.
Susulan kontrak terbaharu itu tambah TA Securities, buku tempahan terkumpul kumpulan berkenaan kini dianggarkan sebanyak RM6.4 bilion, bersamaan kira-kira 1.8 kali hasil pembinaan pada FY24.
"Dengan mengambil kira margin bersih tipikal 6% berdasarkan projek DC terdahulu, kontrak baharu ini dijangka menyumbang keuntungan bersih sekitar RM23.2 juta sepanjang tempoh projek," katanya.
Ia turut melihat penglibatan awal Sunway Construction sebagai kontraktor kerja infrastruktur tapak membuka peluang kontrak meliputi skop teras dan struktur serta mekanikal dan elektrikal (M&E).
TA Securities berkata, berdasarkan anggaran kapasiti DC sebanyak 80MW dan kos pembinaan RM30 juta bagi setiap MW, potensi kontrak tambahan itu boleh mencecah kira-kira RM2.0 bilion bermula FY26.
Justeru, firma itu mengekalkan unjuran perolehan kontrak baharu FY25 pada RM5.0 bilion dan unjuran pendapatan sedia ada sementara menunggu kejelasan lanjut mengenai kemenangan kontrak seterusnya.
"Kami terus menggemari Sunway Construction berikutan kedudukannya yang amat kukuh dalam pembidaan banyak projek prasarana mega seperti Johor EART dan LRT Pulau Pinang segmen 2," jelasnya.
Namun, ia memberi amaran risiko termasuk perolehan kontrak yang lebih perlahan daripada jangkaan, kelewatan pelaksanaan serta prestasi jualan hartanah yang lebih lemah. - DagangNews.com








