T7 Global lantik Azman Yakim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global lantik Azman Yakim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 1 DisT7 Global Berhad mengumumkan rombakan kepimpinan tertinggi kumpulan dengan pelantikan Azman Yakim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan yang baharu.

 

Penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu memaklumkan, penyandang jawatan sebelum ini, Tan Kay Zhuin yang memegang jawatan itu selama tiga tahun, telah dilantik semula sebagai pengarah eksekutif.

 

Pengerusi Eksekutif T7 Global, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani berkata, perubahan kepimpinan itu mencerminkan komitmen lembaga pengarah untuk memastikan kesinambungan dan tadbir urus yang berkesan ketika kumpulan melangkah ke fasa pembangunan seterusnya.

 

“Perubahan kepimpinan ini mencerminkan komitmen lembaga bagi memastikan kesinambungan tadbir urus yang berkesan ketika kumpulan melangkah ke fasa pembangunan seterusnya,” katanya.

 

Menurut T7 Global, Azman membawa lebih 25 tahun pengalaman industri termasuk pernah memegang jawatan kanan di Siemens, General Electric, Dresser-Rand dan Emerson. 

 

Beliau menyertai T7 Global pada 2019 sebagai CEO bagi anak syarikat milik penuh, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd dan kini mengetuai bahagian tenaga kumpulan yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai huluan minyak dan gas.

 

Menurut kenyataan itu, pengalaman Azman dalam pengurusan operasi, pengoptimuman proses serta transformasi perniagaan dijangka dapat menyokong usaha kumpulan untuk memperkukuhkan prestasi dan meningkatkan penciptaan nilai.

 

Sementara itu, Tan Kay Zhuin, yang menyertai kumpulan sejak 2016, diiktiraf atas peranannya memperkukuhkan asas operasi kumpulan serta mengembangkan portfolio perniagaan. 

 

Beliau memperluaskan keupayaan perkhidmatan bahagian tenaga, membangunkan aset luar pesisir dalaman serta menerajui kepelbagaian ke dalam penyelesaian industri, yang menurut kumpulan telah menyokong pertumbuhan hasil dan keuntungan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Selain pelantikan semula Tan, T7 Global turut merekodkan satu lagi perubahan kepimpinan pada April lalu apabila Timbalan Pengerusi Eksekutif terdahulu, Tan Sri Tan Kean Soon, meletakkan jawatan, yang menyaksikan pemegang saham utama, Nik Norzrul, mengambil peranan untuk menerajui syarikat.

 

Di Bursa Malaysia, saham T7 Global tidak berubah pada 30 sen hari ini, sekali gus meletakkan nilai pasaran kumpulan pada RM270.9 juta. - DagangNews.com