KUALA LUMPUR 1 Okt – Systech Berhad melantik Datuk Ong Theng Soon sebagai Pengerusi Eksekutif yang baharu berkuat kuasa serta-merta, dalam usaha memperkukuh kepimpinan strategik syarikat.
Kumpulan penyedia rumusan teknologi digital itu berkata, beliau berusia 54 tahun dan merupakan seorang peguam bertauliah setelah diterima rasmi masuk ke Majlis Peguam Malaysia pada 1998.
Tambah syarikat berkenaan, beliau memiliki lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang guaman di negara ini selain sebagai penasihat korporat, pembangunan hartanah serta kepimpinan perniagaan.
"Beliau merupakan Pengasas dan Rakan Urusan di Tetuan TS Ong & Ng, serta memegang pelbagai jawatan pengarah dalam banyak syarikat," kata Systech dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Ini jelas kumpulan berkenaan, termasuk menerusi syarikat pemilikan hartanah dan pelaburan seperti Vince Properties Sdn Bhd, Teik Heng Jaya Sdn Bhd, dan Ableland Group Sdn Bhd.
Sepanjang kerjayanya sebelum ini, Theng Soon pernah terlibat dalam pelaksanaan pelbagai projek pembangunan hartanah dengan jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) yang melebihi RM1 bilion.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Leeds, United Kingdom itu dan merupakan Barrister-at-Law atau peguam bela yang bertauliah daripada Lincoln’s Inn.
"Di luar sektor korporat, beliau aktif dalam organisasi kemasyarakatan, termasuk sebagai Kolonel dalam Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan pemimpin aktif Lions Clubs International," katanya.
Theng Soon turut berperanan sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah The World Brand Foundation, dan sudah menerima pelbagai pengiktirafan sama ada di peringkat nasional serta antarabangsa.
Systech memaklumkan beliau tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, kepentingan kewangan, atau konflik kepentingan dengan mana-mana pengarah dan pemegang saham utama syarikat tersebut.
Beliau juga tidak memiliki sebarang pegangan dalam syarikat atau anak-anak syarikat kumpulan itu dan pelantikan ini dilihat sebagai langkah strategik Systech mengukuhkan struktur kepimpinan.
"Usaha ini termasuk langkah jangka panjang syarikat menghadapi cabaran dan peluang baharu dalam landskap digital dan teknologi masa kini," katanya. - DagangNews.com








