Synergy House kembali untung bersih RM1.04 juta pada 2QFY25 dijana segmen B2C lebih kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Synergy House kembali untung bersih RM1.04 juta pada 2QFY25 dijana segmen B2C lebih kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Ogos — Synergy House Berhad kembali mencatatkan keuntungan bersih RM1.04 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 berbanding kerugian bersih RM4.76 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Kumpulan tersebut berkata, peningkatan positif berkenaan didorong terutama oleh prestasi yang lebih kukuh dalam segmen perniagaan kepada pengguna (B2C) dan faktor pengurusan kos secara berkesan.

 

Selain itu tambahnya, syarikat tersebut memastikan ketiadaan sebarang peruntukan untuk masalah hutang ragu sekali sahaja yang pernah dicatatkan setahun lalu sehingga menjejaskan perniagaannya.

 

"Syarikat ini namun merekodkan pendapatan masuk sebanyak RM69 juta, turun 10.9 peratus tahun ke tahun, disebabkan oleh beberapa faktor," kata Synergy House dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Penyusutan yang agak besar berkenaan kata kumpulan tersebut, telah dikenal pasti sebagai berpunca daripada sumbangan lebih lemah menerusi segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) di pasaran Britain.

 

Bagaimanapun tambah syarikat berkenaan, sebahagian daripada masalah itu dapat diimbangi semula oleh pertumbuhan jualannya yang dianggap begitu menggalakkan di pasaran Amerika Syarikat (AS) pula.

 

Segmen B2C kata Synergy House, meningkat kira-kira 0.6 peratus kepada sebanyak RM42.1 juta, disokong jualan Britain yang lebih tinggi, manakala hasil B2B pula turun 24.3 peratus kepada RM26.9 juta.

 

"Walaupun menghadapi tekanan daripada kadar pertukaran mata wang yang tidak positif dengan kerugian sebanyak RM2 juta, kami dapat mengekalkan keuntungan melalui pengoptimuman kos," katanya lagi.

 

Di samping itu, syarikat perniagaan pelbagai jenis perabot dalam talian itu memastikan perbelanjaan pengiklanan yang lebih rendah dan sentiasa melaksanakan penyelarasan operasinya sepanjang masa.

 

Pada 30 Jun 2025, Synergy House memiliki dana pemegang saham sebanyak RM127.2 juta, nisbah penggearan bersih 0.04 kali, dengan tunai, baki bank dan pelaburan jangka pendek berjumlah RM45.7 juta.

 

Sementara itu Pengarah Eksekutifnya, Tan Eu Tah berkata, kumpulan itu kekal fokus mengembangkan segmen B2C melalui pelbagai inisiatif yang diterajui teknologi, dan penyertaan pasaran secara terpilih.

 

"Kami juga melakukan perkongsian strategik selain menambah teknologi kecerdasan buatan, automasi proses robotik serta kecekapan dan penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com