KUALA LUMPUR 27 Mac - Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) berkuat kuasa pada 31 Mac 2025.
Menurut kenyataan firma ekuiti swasta milik kerajaan Malaysia itu, Pengarah Kanan Pelaburannya, Aliff Omar Mohamad Omar akan bertindak sebagai pemangku jawatan tersebut pada 1 April 2025.
Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, langkah berkenaan, selaras dengan perancangan penggantian dan perubahan dalam kepimpinan jangka panjang syarikat tersebut.
"Lembaga mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Aliff Omar untuk mengemudi Ekuinas kepada fasa pertumbuhan seterusnya, sambil mewakili nilai teras firma itu," katanya dalam kenyataan.
Syed Yasir telah bersama Ekuinas selama 15 tahun, termasuk sembilan tahun sebagai CEO yang menguruskan dana sebanyak RM4 bilion dan menggunakan pelaburan RM5.6 bilion ke dalam 28 syarikat.
Beliau juga bertanggungjawab mengetuai penciptaan Dana Asas, sebuah dana yang tertumpu kepada usahawan Bumiputera, dan memperkenalkan kredit swasta sebagai kelas aset pelaburan baharu.
“Bersama-sama dengan pasukan luar biasa, kami telah membina platform berdaya tahan bukan sahaja memberi nilai, malah memacu impak jangka panjang inklusif bagi Malaysia,” kata Syed Yasir.
Beliau turut amat berbangga dengan segala pencapaian diraihnya sepanjang berkhidmat dan yakin dengan kemampuan Aliff Omar pula yang mula menyertai Ekuinas pada 2017.
Ekuinas dalam kenyataan itu berkata, pengganti CEO tersebut telah bekerjasama rapat dengan Syed Yasir dalam strategi dan penciptaan nilai.
Alif Omar mempunyai lebih daripada 16 tahun pengalaman dalam kewangan korporat, penggabungan dan pengambilalihan, pasaran modal, serta mengetuai beberapa urus niaga di seluruh Asia Tenggara. - DagangNews.com








