KUALA LUMPUR 8 Mei – MSM Malaysia Holdings Berhad mengumumkan Datuk Syed Hisham Syed Wazir menamatkan tugas sebagai Pengerusi dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa hari ini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan pengeluar gula tersebut berkata, pengunduran beliau secara rasmi selepas melengkapkan tempoh perkhidmatan di syarikat itu genap selama enam tahun.
Penamatan jawatan berkenaan dilaksanakan selaras dengan undang-undang kumpulan itu, selain piagam Lembaga Pengarah di samping polisi dan prosedur penamaan serta pemilihan pengarah syarikat.
"Beliau juga tiada sebarang pertikaian dengan Lembaga Pengarah atau perkara yang perlu dibawa kepada perhatian pemegang saham berhubung penamatan jawatan tersebut," jelas MSM Malaysia.
Menurut makluman itu, Syed Hisham, 71, yang dilantik sebagai anggota pengarah kumpulan tersebut pada 8 Mei 2020, dan tamat perkhidmatan selepas menyelesaikan penggal kedua selama tiga tahun.
Katanya, beliau memiliki pengalaman luas dalam sektor korporat dan automotif termasuk menyandang jawatan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad dari 2010 hingga 2015.
Selain itu ujar MSM Malaysia, beliau juga pernah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan Puncak Niaga Holdings Berhad, serta memegang beberapa jawatan penting dalam syarikat berkaitan automotif.
"Antaranya Ketua Pegawai Operasi (COO) Honda Malaysia Sdn Bhd, COO Naza Kia Sdn Bhd, di samping Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa DRB-Hicom Export Corporations Sdn Bhd," tambahnya lagi.
Syed Hisham katanya, turut pernah berkhidmat dengan Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), Perodua Engine Manufacturing Sdn Bhd, Proton Corporation Sdn Bhd dan Toyota Capital Malaysia Sdn Bhd.
Pada ketika ini beliau turut berkhidmat sebagai Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Progressive Impact Corporation Berhad serta Pengarah Bukan Eksekutif SIRIM QAS International Sdn Bhd.
Dari segi akademik, beliau ialah graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Ohio State University, Amerika Syarikat dan Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Mekanikal Plymouth University, Britain. - DagangNews.com








