Syarikat Taiwan, FE Green PET peroleh pembiayaan RM150 juta bangunkan kilang di Melaka daripada HSBC Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat Taiwan, FE Green PET peroleh pembiayaan RM150 juta bangunkan kilang di Melaka daripada HSBC Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 OktFE Green PET (M) Sdn Bhd, anak syarikat Far Eastern New Century (FENC), menerima pembiayaan hijau dan berkaitan kelestarian berjumlah RM150 juta daripada HSBC Malaysia.


Langkah tersebut menandakan urus niaga sulung FENC dari Taiwan di peringkat global dalam segmen kewangan hijau dengan dana itu akan menyokong pembangunan sebuah kilang kitar semulanya di Melaka.


Fasiliti berkenaan bakal memproses resin polietilena tereftalat (rPET) berteknologi tinggi, yang dijangka memacu sistem ekonomi kitaran 'botol-ke-botol' dan menyumbang kepada peralihan hijau negara ini.


"Kilang ini akan memiliki kapasiti pengeluaran 50,000 tan rPET setahun, menggunakan bahan kitar semula pasca pengguna (PCR) seperti botol dan bekas plastik terpakai," katanya dalam kenyataan.


Selain itu jelas HSBC Malaysia, dana tersebut dapat digunakan FE Green PET untuk usaha pemerolehan sebidang tanah perindustrian di Melaka dan kelengkapan pembuatan bagi fasa awal projek berkenaan.


Syarikat tersebut menjangkakan projek ini menyumbang kepada pengurangan sisa plastik, sambil membekalkan rPET gred makanan kepada pelanggan global, termasuk jenama minuman terkemuka dunia.


Ketua Rumusan Perdagangan Global HSBC Malaysia, Shreyas Krishna dalam kenyataan itu berkata, kerjasama julung kali ini mencerminkan komitmen bersama ke arah amalan pembuatan bertanggungjawab.


“Kami menghubungkan pelanggan kepada pembiayaan lestari melalui jaringan luas di Asia, dan bukan sahaja menyokong usaha alam sekitar, malah mempercepat ekonomi kitaran di rantau ini,” katanya.


Presiden FENC, Donald Fan pula berkata, pelaburan terbaharu kumpulan berkenaan di Melaka seiring dengan usaha syarikat itu untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju industri PCR di ASEAN.


Beliau menegaskan yang Malaysia sudah menjadi hab utama operasi syarikat itu selama lebih tiga dekad, selain meluaskan operasi pembuatan global ke Amerika Syarikat, China, Jepun, dan Vietnam.


Projek ini sejajar inisiatif ‘Melaka Industrial Booster’, yang menjadikan negeri itu hab ekonomi hijau serantau dengan infrastruktur berdaya saing dan sistem perdagangan rentas sempadan cekap.


“Penubuhan kilang ini akan mempercepat pelaksanaan sistem kitaran ‘botol-ke-botol’, di samping membantu dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau,” ujarnya.


Pembiayaan ini disusun berdasarkan struktur berkaitan kelestarian yang mengaitkan harga pinjaman dengan pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) seperti penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE).


Langkah ini turut selaras strategi alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) FENC secara global, malah melalui pelaburan ini, Malaysia tidak sekadar menjadi tapak pengeluaran strategik syarikat itu.


Sebaliknya tambah FE Green PET dalam kenyataan itu, negara ini berupaya merintis model kejayaan kitar semula bernilai tinggi yang selari dengan sasaran ekonomi rendah karbon negara. - DagangNews.com