KUALA LUMPUR 7 Jan — Syarikat sekutu Hibiscus Petroleum Berhad di Australia, 3D Energi Limited mencatat perkembangan positif apabila menemui petanda hidrokarbon di telaga Charlemont-1.
Program penggerudian eksplorasi itu terletak di permit VIC/P79, iaitu luar pesisir Lembangan Otway, Victoria, menunjukkan kehadiran gas memberangsangkan di lapisan batu pasir Waarre A, B dan C.
Kumpulan tersebut menambah, berdasarkan kepada data operasi semasa, bacaan gas yang tinggi serta log kerintangan didapati adalah selari dengan kehadiran bahan hidrokarbon di zon-zon berkenaan.
"Penemuan di Waarre C dianggap sangat signifikan kerana kehadiran hidrokarbon di zon ini tidak dijangka sebelum penggerudian dijalankan," maklum Hibiscus Petroleum kepada Bursa Malaysia.
Jelasnya, telaga Charlemont-1 sudah berjaya mencapai tahap kedalaman 2,753 meter, namun lebih cetek berbanding sasaran asal iaitu 2,862 meter akibat tekanan formasi lebih tinggi daripada jangkaan.
Justeru, syarikat berkenaan kini sedang menilai senario melalui operasi pengelogan 'wireline' bagi menentukan kualiti, keluasan dan keterhubungan antara lapisan-lapisan gas yang ditemui di situ.
Lokasi telaga ini strategik kerana terletak kira-kira 55 kilometer dari pesisir Port Campbell dan merupakan sebahagian daripada rantaian prospek yang menuju ke penemuan gas La Bella di Australia.
"Sebelum ini, operasi penggerudian dihentikan sementara pada 25 Disember 2025, susulan penemuan gas secara tidak dijangka di Waarre C, kira-kira 160 meter di atas sasaran utama," kata kumpulan itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif 3D Energi Noel Newell menyatakan kejayaan pengenalpastian gas di batu pasir Waarre ini mengurangkan risiko prospek lain sepanjang laluan 'Charlemont Trend'.
Tambah beliau, sekiranya kehadiran hidrokarbon itu berjaya dinilai secara sepenuhnya, kolam gas tersebut sebenarnya amat berpotensi menjadi antara yang terbesar di Lembangan Otway sendiri.
Projek VIC/P79 dikendalikan oleh ConocoPhillips Australia dengan penguasaan sebanyak 51%, diikuti Korea National Oil Company pula kira-kira 29%, manakala 3D Energi memegang baki 20% kepentingan.
Operasi penggerudian berkenaan, jelas kumpulan pemaju medan minyak dan gas (O&G) huluan itu, bermula pada 10 Disember 2025 dengan menggunakan pelantar Transocean Equinox. - DagangNews.com








