KUALA LUMPUR 29 Dis — Syarikat sekutu Hibiscus Petroleum Berhad di Australia, 3D Energi Limited, menghentikan sementara operasi penggerudiannya di telaga Charlemont-1 pada 25 Disember 2025.
Kumpulan tersebut berkata, langkah penggantungan berkenaan dilaksanakan selepas menemui kehadiran gas yang besar secara tidak dijangka di zon Waarre C, kira-kira 160 meter di atas sasaran utama.
Perkembangan itu dimaklumkan oleh 3D Energi melalui pengumuman kepada Bursa Saham Australia (ASX) berkaitan program penggerudian eksplorasi terkininya di luar pesisir Lembangan Otway, Victoria.
"Operasi ini dihentikan sementara selepas tekanan pada kedalaman 2,552 meter yang didapati lebih tinggi daripada jangkaan," jelas Hibiscus Petroleum dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tindakan itu membolehkan pengendali projek, ConocoPhillips Australia menilai kemungkinan pelarasan reka bentuk telaga, termasuk opsyen untuk meneruskan penggerudian ke sasaran utama di Waarre A.
Kata kumpulan berkenaan, 3D Energi memaklumkan yang penilaian sebelum penggerudian tersebut tidak pernah menjangkakan sebarang potensi penemuan sebarang gas pada paras lebih cetek di zon Waarre C.
Kerja-kerja penilaian lanjut tambah Hibiscus Petroleum, ketika ini sedang dijalankan dan apa-apa perkembangan semasa mengenai penggerudian tersebut akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan.
3D Energi memegang 20% kepentingan dalam projek Charlemont-1, manakala ConocoPhillips Australia menguasai 51% sebagai pengendali dan Korea National Oil Company pula memegang baki kira-kira 29%.
Operasi penggerudian berkenaan, jelas kumpulan pemaju medan minyak dan gas (O&G) huluan itu, bermula pada 10 Disember 2025 dengan menggunakan pelantar Transocean Equinox. - DagangNews.com








