Syarikat pengeluar sarung tangan, WRP Asia Pacific hentikan operasi bermula 15 April 2026 akibat konflik Timur Tengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat pengeluar sarung tangan, WRP Asia Pacific hentikan operasi bermula 15 April 2026 akibat konflik Timur Tengah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 April – Pengeluar sarung tangan Malaysia, WRP Asia Pacific Sdn Bhd akan menutup operasi perniagaannya bermula 15 April ini, akibat gangguan besar dalam bekalan tenaga dan bahan kimia global disebabkan konflik di Timur Tengah.

 

Syarikat itu menyatakan kos bahan mentah dan bahan kimia meningkat dengan ketara, manakala tempoh perolehan menjadi tidak menentu dan pembekal pula menuntut pembayaran awal.

 

Dalam surat kepada pelanggan bertarikh 31 Mac 2026, WRP menjelaskan keputusan menutup operasi adalah sukar tetapi perlu dilaksanakan demi kelangsungan syarikat.

 

Perang yang melibatkan Amerika Syarikat dan Israel menimbulkan kejutan bekalan minyak terbesar dalam beberapa dekad, meningkatkan inflasi dan kos bagi pelbagai sektor termasuk makanan, bahan bakar, dan pengeluaran sarung tangan.

 

Industri sarung tangan Malaysia, yang bergantung kepada nitril lateks iaitu sejenis getah sintetik berdepan risiko tinggi kerana harga bahan mentah berkait rapat dengan pasaran tenaga global.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia sebelum ini memberi amaran bahawa sekatan Selat Hormuz menyebabkan kekurangan bahan mentah utama, menimbulkan tekanan kewangan kepada pengeluar tempatan dan mengancam bekalan sarung tangan di seluruh dunia.

 

Harga butadiena, gas utama dalam pembuatan sarung tangan pakai buang, meningkat hampir 70 peratus sejak perang bermula, menjadikan kos pengeluaran lebih tinggi berbanding pesaing serantau.

 

WRP, yang pernah mencatatkan lonjakan jualan semasa pandemik, mengalami kerugian sebanyak RM78 juta daripada hasil RM204.6 juta bagi tahun berakhir 30 Jun 2024. 

 

Syarikat itu kini menunggu maklum balas pemegang saham dan berpotensi dijual kepada pihak lain.

 

Malaysia menghasilkan hampir 45 peratus sarung tangan dunia dan mengeksportnya ke 195 negara. Gangguan bekalan dan kenaikan kos dijangka memberi kesan besar kepada pengeluar tempatan dan pasaran global. - DagangNews.com