KUALA LUMPUR 24 Dis – Borneo Oil Berhad mengesahkan syarikat pelaburannya, Verde Resources Inc (VRDR) memfailkan permohonan menyenaraikan saham biasa di Pasaran Nasdaq, Amerika Syarikat (AS).
Kumpulan tersebut yang asalnya dikenali sebagai SugarBun Services Corporation Berhad menjelaskan, ia turut memiliki kepentingan sebanyak 13.449% dalam VRDR setakat akhir tahun kewangan 2025.
Pengumuman ini dibuat secara sukarela di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia memandangkan tiada sebarang pertimbangan kewangan yang terlibat dalam permohonan berkenaan.
"VRDR, yang kini disenaraikan di pasaran OTCQB di AS, terlibat dalam pembangunan produk dan teknologi infrastruktur mampan berimpak rendah karbon," maklum Borneo Oil kepada bursa hari ini.
Syarikat itu tambah kumpulan berkenaan, lebih memfokuskan rumusan inovatif yang mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta mengoptimumkan penggunaan bahan kitar semula dan tanah tempatan.
VRDR katanya, turut mengumumkan pemfailan penyata pendaftaran iaitu Form S-1 dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS (SEC) bagi tawaran awam yang bertaja saham biasa pada 23 Disember 2025.
Syarikat itu menyasarkan kutipan kasar antara hingga AS$8 juta (kira-kira RM32.4 juta), manakala penyenaraian di Nasdaq akan berkuat kuasa tertakluk kepada kejayaan penutupan tawaran tersebut.
"Hasil dana bersih daripada penawaran ini akan digunakan untuk mempercepat pertumbuhan strategik VRDR, termasuk pengembangan teknologi BioAsphalt' di rantau Amerika Utara," jelas Borneo Oil.
Selain itu kata kumpulan tersebut, syarikat itu berhasrat memperluaskan model pelesenan ke pasaran baharu serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan berkaitan teknologi yang lebih mesra alam.
Menurutnya, permohonan penyenaraian VRDR ini tidak memberi kesan material kepada modal saham, aset bersih, hutang, pendapatan atau hasil sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Selain itu, tiada mana-mana pengarah atau pemegang saham utama Borneo Oil mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam urus niaga berkenaan. - DagangNews.com








