KUALA LUMPUR 26 Mac - Syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) tempatan dipercayai mampu memanfaatkan secara positif aktiviti huluan yang stabil dalam beberapa bulan akan datang, menurut MIDF Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan baik itu turut menjana peluang dalam bidang kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pentauliahan, serta operasi penyelenggaraan atau pembaikan di pertengahan dan hiliran.
Permintaan minyak dan gas (O&G) kekal stabil walaupun terdapat ketidaktentuan dengan permintaan global diunjur meningkat kepada kira-kira satu juta tong sehari (bpd) kadar pengeluaran pada 2025 kepada jumlah 104 juta bpd.
"Benua Asia dijangka mendahului pertumbuhan manakala pada Februari 2025, bekalan minyak dunia meningkat 240,000bpd, diterajui anggota-anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+)," katanya dalam nota kajian.
Bagaimanapun, dengan Dasar Tenaga Presiden Donald Trump yang mengutamakan Amerika Syarikat (AS), MIDF Research menjangkakan sebaik sahaja dasar itu ditetapkan, ia menyumbang kepada peningkatan pengeluaran sebanyak 1.5 juta bpd pada 2025.
Secara keseluruhan, firma itu berpendapat, permintaan semakin meningkat akan membuka lebih banyak peluang untuk penerokaan, pembangunan dan pengeluaran huluan, terutama di ladang kelompok kecil dan medan air dalam.
Risiko penurunan jangka pendek namun boleh berlaku termasuk peningkatan pengeluaran agresif yang boleh mengurangkan keseimbangan bekalan, pertumbuhan permintaan lebih perlahan untuk O&G, serta ketegangan geopolitik dan tarif perdagangan.
"Situasi ini boleh diimbangi oleh disiplin modal dan teknologi baharu. Kami jangka harga minyak mentah Brent kekal dalam lingkungan AS$70 hingga AS$80 setong, dengan purata AS$73 setong pada Mac 2025," kata firma berkenaan.
MIDF Research turut mengunjurkan banyak peluang pelaburan hadapan dengan industri O&G huluan Malaysia dijangka stabil dalam tempoh tiga tahun akan datang, manakala tahap aktiviti tinggi di hab pengeluaran utama seperti Sarawak dan Sabah.
Sektor ini katanya, diunjurkan berkembang daripada 700,000 bpd pada 2025 dengan kemajuan stabil dijangka untuk projek huluan dan pertengahan yang sedang berjalan, memberikan ia tinjauan jangka pendek dari segi prestasi kewangan, terutama untuk OGSE.
"Kami berpendapat bahawa ada permintaan kukuh untuk kapal sokongan luar pesisir, paip talian dan penggerudian. Tumpuan pada penyelesaian penyimpanan karbon, ladang angin luar pesisir dan suria terapung juga mewujudkan peluang baharu industri tenaga," katanya.
Ia juga meramalkan risiko jangka pendek lain termasuk harga O&G tidak menentu, potensi pengurangan perbelanjaan modal Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk projek dan pelaburan masa depan serta gangguan rantaian bekalan.
Keadaan tersebut kata MIDF Research disebabkan perubahan dasar dan ketegangan geopolitik serta tekanan daripada peningkatan persaingan dalam kapal berikutan kadar sewa petroleum yang stabil selain permintaan lebih tinggi. - DagangNews.com








