Syaiful Rizal dilantik jadi CEO Yayasan Bank Rakyat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syaiful Rizal dilantik jadi CEO Yayasan Bank Rakyat

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 Feb - Yayasan Bank Rakyat (YBR) hari ini melantik Syaiful Rizal Abdul Ghani sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu dan turut berkuat kuasa dengan serta-merta.

 

Namanya itu malah dicadangkan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, dan dilaporkan turut mendapat kelulusan daripada ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR sendiri.

 

Perubahan kepimpinan itu menurut kenyataan Jabatan Komunikasi Korporat YBR, adalah sebahagian daripada strategi penyusunan semula dalaman organisasi untuk mengukuhkan lagi kecekapan, prestasi dan integriti.

 

Syaiful Rizal bukan nama asing kerana pernah memegang jawatan sebagai Pengurus Besar YBR dan memang berpengalaman luas menguruskan pelbagai aktiviti pendidikan serta tanggungjawab sosial korporat (CSR).

 

Malahan di bawah kepimpinannya sebelum ini, YBR mencapai banyak pengiktirafan dengan terkini ialah Anugerah 'Top Community Centric Companies in Asia' pada acara ACES Award 2024 di Bangkok, Thailand.

 

Tidak ketinggalan, yayasan tersebut melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai pemenang bagi Anugerah 'Foundation of The Year' dalam kategori perbankan selama tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2022 .

 

Selain itu, YBR juga mencipta nama tersendiri apabila pernah diumumkan menerima Anugerah Khas Champion CSR pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera 2023 yang diadakan di ibu negara.

 

Ini disusuli dengan berita kejayaan disenaraikan antara tujuh yayasan yang berjaya dalam mencapai markah sempurna penuh untuk penilaian tahap ketelusan oleh sebuah firma global, WIKI Impact pada tahun lalu.

 

Dengan pelantikan ini, Lembaga Pemegang Amanah YBR yakin Syaiful Rizal boleh memimpin yayasan itu ke tahap lebih tinggi dalam usaha memperkasakan inisiatif pendidikan dan CSR di Malaysia. - DagangNews.com