KUALA LUMPUR 24 April – SWS Capital Berhad melupuskan sebidang tanah industri terletak di Taman Perindustrian Batu Kawan, Pulau Pinang kepada anak syarikat UWC Berhad pada harga RM13 juta.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memaklumkan ia bakal menanggung kerugian bersih sebanyak RM1.46 juta daripada cadangan penjualan tanah pajakan selama 60 tahun itu.
Jelas kumpulan itu, anak syarikat milik penuhnya, EE-Lian Enterprise (M) Sdn Bhd, menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan UWC Industrial Sdn Bhd bagi melaksanakan urus niaga tersebut.
"Pajakan hartanah yang terlibat berakhir pada 11 Ogos 2076 dengan berkeluasan 6,674 meter persegi, yang menempatkan sebuah pejabat dua tingkat dan sebuah gudang setingkat," tambah SWS Capital.
Meskipun harga jualan bersamaan dengan nilai buku bersih (NBV) hartanah itu setakat 31 Disember 2025, ia dijangka mencatatkan kerugian bersih setelah diambil kira cukai keuntungan harta tanah.
Katanya, cukai tersebut sahaja sudah berjumlah RM229,000, manakala perbelanjaan persetujuan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sebanyak RM1.15 juta, serta kos-kos lain berkaitan.
SWS Capital menjelaskan yang langkah pelupusan hartanah berkenaan merupakan sebahagian daripada latihan rasionalisasi operasi kumpulan itu yang sedang dijalankan secara berperingkat-peringkat.
"Ia membolehkan kumpulan ini mencairkan nilai pelaburannya dan mengagihkan semula hasil tersebut untuk usaha niaga yang lain dalam pelbagai unit operasinya," jelas kenyataan syarikat berkenaan.
Hasil pelupusan itu, diperuntukkan untuk penyelesaian pinjaman berjangka dengan RHB Bank Berhad sebanyak RM6.33 juta, dan penyelesaian jumlah terhutang kepada syarikat induk iaitu RM3.7 juta.
Sementara RM1.5 juta untuk penempatan deposit tetap di RHB Bank bagi tujuan kemudahan perbankan, manakala baki digunakan untuk pelbagai cukai, yuran persetujuan pihak berkuasa, dan kos pelupusan.
Tambah SWS Capital, langkah penjualan tersebut tidak memerlukan sebarang kelulusan pemegang saham syarikat dan dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang tempoh suku keempat tahun 2026.
"Harga pelupusan berdasarkan laporan penilaian pasaran bertarikh 31 Disember 2025 oleh firma penilai bebas, PA International Property Consultants (Penang) Sdn Bhd," katanya. - DagangNews.com








