Suruhanjaya Tenaga dakwa 12 kes curi elektrik, guna gas tanpa lesen di mahkamah tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suruhanjaya Tenaga dakwa 12 kes curi elektrik, guna gas tanpa lesen di mahkamah tahun ini

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 SeptSuruhanjaya Tenaga (ST) mempertingkatkan penguatkuasaan dengan mendakwa sejumlah 12 kes di mahkamah setakat tahun ini melibatkan denda keseluruhan RM200,140.


Menurut agensi tersebut, kesemua kesalahan berkenaan yang dihadapkan untuk perbicaraan merupakan kes-kes di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Akta Bekalan Gas 1993 (Akta 501).


Ini termasuk jenayah pencurian elektrik, pengubahsuaian haram pemasangan elektrik yang menyebabkan kematian, pemilikan peralatan elektrik tanpa label kelulusan dan penggunaan gas tanpa lesen sah.


"Antara kes terbaharu, tiga syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen Labuan dan Kota Kinabalu masing-masing pada 26 dan 27 Ogos 2025 mengikut Subseksyen 37(3)(e) Akta 447," kata ST dalam kenyataan.


Antara syarikat yang dikenakan denda tambahnya, ialah Sri Mas Foods Industries Sdn Bhd sebanyak RM55,000, manakala LB Gases Hardware Sdn Bhd dan Kim Kian Enterprise masing-masing RM50,000.


ST mengesahkan kesemua syarikat terlibat melunaskan denda dan menegaskan, sebagai badan kawal selia sektor tenaga, pihaknya memandang serius pelanggaran undang-undang bekalan elektrik dan gas.


Kesalahan tersebut katanya, bukan sahaja memberi kesan kewangan kepada industri tenaga negara, malah dibimbangi boleh menjejaskan tahap kestabilan sistem bekalan dan keselamatan awam.


“Pendakwaan yang diumumkan secara terbuka ini diharap menjadi peringatan kepada semua pihak agar tetap mematuhi segala perundangan berkaitan tenaga elektrik dan gas,” ujar kenyataan ST itu lagi.


Pada masa yang sama, ia turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti haram berkaitan penggunaan elektrik dan gas, termasuk jenayah pencurian elektrik.


Aduan tersebut katanya, boleh dikemukakan terus melalui sistem eAduan ST iaitu laman web rasmi:
www.st.gov.my.  - DagangNews.com