Supercomnet Technologies ambil alih 49% ekuiti Supercomnet Asset, perkukuh aktiviti pegangan pelaburan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Supercomnet Technologies ambil alih 49% ekuiti Supercomnet Asset, perkukuh aktiviti pegangan pelaburan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 NovSupercomnet Technologies Berhad (STB) memuktamadkan pengambilalihan 49% ekuiti dalam Supercomnet Assets Sdn Bhd (SASB) dengan nilai keseluruhan RM49,000 secara tunai.


Kumpulan tersebut berkata, Lembaga Pengarahnya memaklumkan yang langkah pengambilalihan sebanyak 49,000 saham biasa SASB itu bertujuan untuk memperkukuh aktiviti strategik pegangan pelaburan.


Transaksi tersebut berjaya dilengkapkan pada 12 November 2025, dan menjadikan SASB sebagai syarikat dimiliki 49% ekuitinya oleh STB, selepas pendaftaran nama STB dalam senarai daftar ahli SASB.


"SASB yang mempunyai modal terbitan sebanyak RM100,000 terdiri daripada 100,000 saham biasa, dengan diterajui dua pengarah iaitu Hsueh Chih-Yu dan Lim Eng Chuan," maklum STB kepada Bursa Malaysia.


Bagaimanapun, SASB bukan dianggap sebagai anak syarikat secara perundangan kepada STB berdasarkan definisi rasmi subsidiari di bawah Seksyen 5(1) Akta Syarikat kerana tidak menguasai lebih daripada 50%.


SASB secara teknikal lebih tepat dikategorikan sebagai syarikat bersekutu kepada STB yang memiliki pengaruh signifikan tetapi bukan kawalan penuh, kerana hanya menguasai antara 20% hingga kurang 50%.


Menurut makluman STB, pengambilalihan itu tidak memberi kesan material terhadap modal terbitan, pegangan saham pemegang utama, pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau nisbah hutang syarikat.


"Tiada kelulusan pemegang saham diperlukan bagi transaksi ini, namun ada beberapa individu yang berkepentingan dalam kedua-dua syarikat, termasuk Pengarah Urusan STB, Shiue Jong-Zone," katanya.


Turut mempunyai kepentingan tersebut ialah isterinya, Wu Huei-Chung, serta anak mereka, Hsueh Chih-Yu dan Shiue Jyh-Jeh, selain Lim Eng Chuan yang juga pemegang saham dan pengarah dalam SASB.


Langkah strategik ini namun dijangka memperkukuh struktur pelaburan kumpulan berkenaan yang ditubuhkan sejak 1990 dalam bidang berkaitan aset dan pengembangan perniagaan masa hadapan.


STB yang asalnya ialah Supercomal Wires and Cables Sdn Bhd sebelum ditukar nama pada 2018, beribu pejabat di Sungai Petani, Kedah serta disenaraikan di Pasaran ACE pada 2005. - DagangNews.com