KUALA LUMPUR 12 Sept – Sunway Berhad melalui anak syarikatnya, Sunway Iskandar Development Sdn Bhd (SIDSB), menerbitkan nota jangka sederhana (MTN) yang bernilai RM2 bilion secara berperingkat.
Kumpulan hartanah tersebut berkata, usaha itu menyokong SIDSB sebagai pemaju induk pembangunan bercampur projek mega di Sunway City Iskandar Puteri (SCIP), Johor yang berkeluasan 810 hektar.
Dokumen berkaitan program MTN itu diserah kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengikut Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai di bawah Kerangka Lodge and Launch (LOLA).
"Program ini yang bersifat tiada tarikh matang tetap, membolehkan SIDSB menerbitkan nota dan tertakluk jumlah maksimum bernilai RM2 bilion dalam apa-apa masa," maklum Sunway kepada Bursa Malaysia.
Lebih menarik katanya, program ini memberi ruang kepada SIDSB untuk menerbitkan MTN secara berdaya tahan dalam jangka panjang dan berterusan sejajar dengan pelbagai piawaian kewangan mampan lain.
Bagaimanapun tambah Sunway, program MTN yang dikendalikannya tidak diberi penarafan kredit secara keseluruhan, namun setiap terbitan nota itu akan dinilai berasingan mengikut keperluan pasaran.
Alliance Bank Malaysia Berhad jelas kenyataan tersebut, dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan ejen kemudahan bagi keseluruhan pelaksanaan program berkenaan.
"Dana yang dijana melalui penerbitan MTN akan digunakan untuk pembiayaan perbelanjaan modal, modal kerja termasuk kos pembangunan hartanah serta tujuan korporat am SIDSB dan subsidiari," katanya.

Penerbitan MTN ini sebahagian strategi kewangan jangka panjang Sunway mempercepatkan pembangunan SCIP, sebuah bandar integrasi yang meliputi zon Pendas dan Medini, dalam koridor Iskandar Malaysia.
SCIP terdiri daripada dua presint utama iaitu Riverside dan Capital, dengan akan dibangunkan dalam tempoh antara 20 tahun hingga 30 tahun, serta anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM30 bilion.
Selain itu, SCIP mencatat rekod sebagai pertama di Johor meraih Pensijilan Perak Sementara daripada Lembaga Akreditasi Indeks Bangunan Hijau, menjadikan ia antara pembangunan mampan di Malaysia.
"Pelancaran program MTN ini mengukuh komitmen Sunway terus menambah nilai sektor pembangunan hartanah negara, khususnya di Johor yang kini menjadi tumpuan pelaburan perbandaran," katanya.
Sunway menambah, dengan asas kewangan kukuh dan kepakaran dalam pembangunan bersepadu, langkah ini diyakini mempercepatkan pertumbuhan SCIP sebagai mercu tanda selatan tanah air. - DagangNews.com








