KUALA LUMPUR 9 Sept – Sunway Sanctuary, kediaman penjagaan warga emas premium milik Sunway Berhad, dilihat berpotensi menjadi pemacu baharu dalam segmen penjagaan kesihatan berasaskan ekonomi warga tua, demikian menurut MBSB Research.
Dalam lawatan firma penyelidikan itu ke fasiliti berkenaan baru-baru ini, Sunway Sanctuary yang mula beroperasi pada 2023 dilihat sebagai satu usaha strategik Sunway Berhad untuk menembusi sektor penjagaan kesihatan premium.
Kediaman ini terletak di Menara D, Sunway Medical Centre dalam Sunway City Kuala Lumpur dan merangkumi aras 15 hingga 30, memberikan kelebihan lokasi strategik yang berintegrasi dengan pusat perubatan ternama.
Menurut MBSB Research, Sunway Sanctuary menawarkan pelbagai jenis penjagaan termasuk kehidupan berdikari, penjagaan dibantu, rawatan pasca hospital dan penjagaan selepas bersalin.
"Untuk unit kehidupan berdikari, kadar bermula dari RM8,800 sebulan, manakala penjagaan dibantu dan pasca hospital bermula RM10,800 sebulan. Penjagaan selepas bersalin pula ditawarkan pada kadar RM23,800 untuk tempoh 28 hari," kata firma itu dalam nota kajiannya hari ini.
Kediaman ini turut dilengkapi kemudahan rekreasi dan kesihatan seluas hampir 9,300 meter persegi, termasuk kolam renang air garam, bilik permainan, teater mini, pusat kecergasan, perpustakaan, restoran dan pelbagai terapi pemulihan seperti urutan dan rawatan tradisional Cina.
“Peningkatan kadar penghunian kepada 50% pada 2025 daripada hanya 30% pada tahun sebelumnya menunjukkan respons positif terhadap tawaran Sunway Sanctuary. Selain itu, pakej ‘staycation’ warga emas dengan kadar harian sekitar RM600 turut membantu menggalakkan penghunian,” jelas MBSB Research.
Sunway Sanctuary memiliki sejumlah 473 unit keseluruhan, dengan fasa pertama melibatkan sebanyak 235 unit, manakala fasa kedua dijangka dilancarkan kemudian.
Meskipun sumbangan semasa daripada Sunway Sanctuary kepada kumpulan masih kecil, MBSB Research berpandangan bahawa pelaburan Sunway Berhad dalam sektor ini adalah tepat pada masanya memandangkan peningkatan populasi warga emas di Malaysia dan potensi pelancongan perubatan.
Sehubungan itu, firma tersebut masih mengekalkan saranan 'neutral' terhadap saham Sunway Berhad dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM5.06 sesaham.
Ia turut mengekalkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan FY25 hingga FY27 kerana faktor positif sedia ada telah pun diambil kira dalam penilaian semasa. - DagangNews.com








