KUALA LUMPUR 7 April - Minat Sunway Bhd terhadap sebidang tanah seluas 24 hektar di Andaman mampu menjadi pemangkin strategik kepada Eastern & Oriental Bhd (E&O), menurut Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang).
Firma penyelidikan itu berkata, penjanaan nilai melalui pelupusan tanah, penglibatan pemaju luar berupaya memperkukuh ekosistem pembangunan pulau tersebut menerusi elemen penempatan pemasaran yang lebih menyeluruh.
Menurutnya, perkembangan itu dijangka menyokong peningkatan nilai hartanah sekitar, memperkukuh keyakinan pembeli serta mempercepat momentum jualan bagi pelancaran projek akan datang.
“Komponen komersial di Andaman masih dalam perancangan meliputi pembangunan pejabat, runcit, hospitaliti, penjagaan kesihatan dan pendidikan, selari dengan kematangan pulau itu sebagai destinasi pembangunan bersepadu,” katanya.
Affin Hwang berkata, cadangan pelupusan tanah berkenaan sejajar dengan strategi jangka panjang E&O untuk membentuk usaha sama atau menjual tanah bagi pembangunan komersial pada masa depan.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan “BELI” terhadap E&O dengan harga sasaran tidak berubah pada RM0.90 sesaham.
Menurutnya, E&O kekal sebagai proksi kepada pertumbuhan hartanah di Pulau Pinang, disokong oleh nilai pembangunan Andaman Island yang besar.
“Pemangkin utama kepada peningkatan nilai adalah sekiranya cadangan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang bernilai RM10 bilion direalisasikan di Andaman,” katanya.
Dalam masa sama, Affin Hwang berpandangan pihak pengurusan E&O sedar akan kebergantungan tinggi kumpulan terhadap pasaran Pulau Pinang dan sedang mengambil langkah memperluas jejak pembangunan.
Ini termasuk pelancaran projek baharu di Lembah Klang serta keterbukaan untuk menjalin usaha sama strategik bagi mewujudkan aliran pendapatan yang lebih seimbang pada masa hadapan.
Affin Hwang tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan E&O bagi tahun kewangan 2026 hingga 2028.
Bagaimanapun, firma itu mengingatkan risiko penurunan termasuk jualan Andaman yang lebih perlahan daripada jangkaan serta tekanan margin susulan peningkatan kos pembinaan, terutama jika konflik geopolitik seperti perang berpanjangan antara Amerika Syarikat dan Iran berterusan. - DagangNews.com








