KUALA LUMPUR 16 Okt – Sunway City Iskandar Puteri (SCIP) muncul sebagai bandar hijau pertama di Malaysia berjaya menerima penarafan Emas daripada Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).
Pencapaian terbaik itu susulan pelancaran Rangka Kerja Pembiayaan Mampan bernilai RM2 bilion pada 12 September 2025, yang menetapkan penanda aras baharu dalam pembangunan bandar lestari negara.
Usaha di Johor itu diraih melalui kerjasama strategik pembiayaan hijau dengan Alliance Bank Malaysia Bhd meliputi terbitan bon mampan bernilai RM230 juta oleh Sunway Iskandar Development Sdn Bhd (SIDSB).
Ia direalisasikan di bawah program nota jangka sederhana yang bernilai RM2 bilion dengan bank itu dilantik sebagai penasihat utama, pengurus utama serta pemegang langgan tunggal terbitan tersebut
Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Property Wilayah Selatan, Gerard Soosay menyifatkan penarafan terbaik itu mengesahkan komitmen kumpulan tersebut dalam aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
“Perbandaran berskala besar kini terbukti boleh selaras piawaian ESG tertinggi tanpa dikorbankan nilai komersial. Ini detik transformasi dalam pembangunan bandar mampan di Malaysia,” katanya.
Artikel berkaitan: Sunway terbit nota jangka sederhana RM2 bilion, sokong pembangunan Sunway City Iskandar Puteri

Beliau menambah, inisiatif ini seiring visi jangka panjang Sunway sebagai Pemaju Komuniti Utama Negara, yang mementingkan pembangunan inklusif serta bertanggungjawab kepada generasi masa depan.
Menurut kenyataan SCIP pula, penilaian ketat MARC itu melangkaui penilaian konvensional yang tidak hanya tertumpu kepada bangunan individu, malahan melibatkan keseluruhan pelan induk pembangunan.
Ini jelas pemaju itu, termasuk impak ESG, pengurusan risiko serta proses pemilihan projek, sekali gus menjadikan SCIP sebagai perbandaran pertama di Malaysia meraih penarafan Emas yang sedemikian.
"Keadaan itu berbeza daripada penarafan sebelum ini yang hanya kepada entiti atau fasiliti individu seperti Sunway South Quay Sdn Bhd," tambah kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Perbankan Korporat dan Institusi Kumpulan Alliance Bank, Teoh Chu Lin berkata, kerjasama ini mencerminkan usaha berterusan untuk menyokong perniagaan kelestarian.
Justeru, beliau percaya inisiatif seperti ini mempercepatkan impak positif terhadap alam sekitar dan masyarakat, selaras dengan aspirasi bank itu untuk menjadi ejen perubahan. - DagangNews.com








