KUALA LUMPUR 30 April - Digital Nasional Bhd (DNB) perlu terus melabur dalam menaik taraf infrastruktur rangkaian serta meningkatkan kualiti perkhidmatan bagi memenuhi jangkaan pengguna dan keperluan industri, menurut TA Securities.
Sehubungan itu, firma penyelidikan itu berkata, suntikan dana tambahan kepada DNB dilihat sebagai langkah kritikal bagi memastikan syarikat itu kekal kompetitif dalam landskap 5G negara yang semakin sengit.
Tambahnya, keperluan tersebut juga penting susulan kemunculan U Mobile yang kini giat mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G kedua, sekali gus meningkatkan tekanan persaingan dalam industri telekomunikasi tempatan.
"Setakat ini, liputan 5G Malaysia yang diterajui DNB telah mencapai 82.4% kawasan berpenduduk, disokong oleh kadar penerimaan pengguna yang kukuh.
"Dalam masa sama, rangkaian 5G kedua kendalian U Mobile semakin menghampiri tahap tersebut dengan liputan sekitar 80%, mencerminkan kemajuan ketara ke arah landskap dua rangkaian yang lebih kompetitif," katanya dalam nota kajian hari ini.
CelcomDigi Bhd (CDB), Maxis Bhd (Maxis) dan YTL Power International Bhd (YTLP) masing-masing menyalurkan tambahan RM202 juta dalam bentuk pendahuluan pemegang saham kepada DNB bagi menyokong operasi 5G syarikat itu.
Suntikan dana tersebut bertujuan membiayai keperluan termasuk pemerolehan spektrum tambahan serta modal kerja, sejajar usaha memperkukuh pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh negara.
Penarafan 'Overweight' Kekal
Menurut TA Securities, dalam konteks pembiayaan, CDB dan Maxis berada pada kedudukan yang kukuh untuk menyokong pelaksanaan tersebut melalui sumber dalaman, mengambil kira kedudukan tunai masing-masing sebanyak RM871.5 juta dan RM458 juta setakat suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25).
Secara keseluruhan, firma penyelidikan mengekalkan pendirian ‘overweight’ terhadap sektor telekomunikasi, didorong oleh jangkaan hasil perkhidmatan yang kekal berdaya tahan meskipun berdepan persekitaran operasi yang kompetitif.
TA Securities menjangkakan pengendali telekomunikasi tidak akan terlibat dalam persaingan harga secara agresif, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan cadangan nilai masing-masing bagi menarik dan mengekalkan pelanggan.
Selain itu, pelaksanaan berterusan rangkaian 5G di Malaysia dilihat membuka peluang penjanaan pendapatan baharu yang masih belum diterokai sepenuhnya, khususnya dalam segmen perusahaan yang dijangka menjadi pemacu pertumbuhan utama pada masa hadapan.
Dalam liputan sektor ini, penganalisis mengekalkan saranan ‘Beli’ bagi Axiata Group Bhd dengan harga sasaran (TP) RM3.03, Maxis Bhd (TP: RM4.37), CelcomDigi Bhd (TP: RM4.35) serta Telekom Malaysia Bhd (TP: RM8.80).
Bagaimanapun, mereka turut mengingatkan bahawa risiko penurunan utama termasuk kemungkinan berlakunya persaingan harga yang tidak dijangka serta perubahan dasar atau peraturan yang boleh menjejaskan prospek industri. - DagangNews.com








