Sunsuria tawar sukuk wakalah RM500 juta biaya modal kerja, penstrukturan semula pinjaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunsuria tawar sukuk wakalah RM500 juta biaya modal kerja, penstrukturan semula pinjaman

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Sept – Pemaju hartanah, Sunsuria Berhad melancarkan Program Kertas Komersial Islamik (ICP) yang berjumlah RM500 juta bagi penerbitan dan penawaran sukuk wakalah


Perkara tersebut dilaporkan kumpulan itu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 17 September 2025 di bawah kerangka Garis Panduan Produk Pasaran Modal Tidak Tersenarai.


Program ini katanya, akan membolehkan Sunsuria dapat menerbitkan Sukuk Wakalah dengan status bercagar atau tidak bercagar, serta yang ada penarafan atau langsung tidak berpenarafan.


"Ia dilancarkan berperingkat mengikut keperluan syarikat, tetapi nilai nominal keseluruhan yang tertunggak tidak melebihi RM500 juta pada satu masa," maklumnya kepada Bursa Malaysia.


Penarafan awal MARC-1IS diberikan oleh MARC Ratings Berhad, menggambarkan tahap keyakinan tinggi terhadap keupayaan jangka pendek Sunsuria dalam menunaikan tanggungjawab kewangan.


Menurut Sunsuria, hasil terbitan sukuk ini akan digunakan bagi pelbagai tujuan yang bersifat patuh Syariah, termasuk sebagai modal kerja dan perbelanjaan modal serta tujuan korporat am lain.


Selain itu, ia digunakan bagi pembayaran serta penstrukturan semula pinjaman konvensional dan pembiayaan Islam sedia ada dan masa depan serta yuran dan kos berkaitan program ini.


"Hong Leong Investment Bank Berhad dilantik sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama dan ejen kemudahan rasmi bagi ICP Program tersebut," kata syarikat berkenaan.


Langkah penerbitan sukuk itu tambah Sunsuria, mencerminkan strategi kumpulan dalam memperkukuh kedudukan kewangan sambil mematuhi prinsip kewangan Islam. - DagangNews.com