Sunsuria jadi pemegang saham terbesar KL City Gateway selepas beli lagi 41% pegangan bernilai RM21.46 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunsuria jadi pemegang saham terbesar KL City Gateway selepas beli lagi 41% pegangan bernilai RM21.46 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 April – Sunsuria Bhd memperkukuhkan kedudukannya dalam pembangunan KL City Gateway selepas menyempurnakan pengambilalihan tambahan 41% peratus kepentingan ekuiti dalam KL City Gateway Sdn Bhd.

 

Dengan pengambilalihan terbaharu itu, Sunsuria Bhd kini memegang 61% kepentingan keseluruhan dalam syarikat projek tersebut, meningkat daripada 20% sebelum ini.

 

Sunsuria berkata, transaksi berkenaan telah dimuktamadkan pada hari ini melalui perjanjian jual beli saham bersama Suez Capital Sdn Bhd dan pemegang saham sedia ada yang lain.

 

Pengambilalihan tersebut membabitkan nilai sebanyak RM21.46 juta bagi tambahan pegangan 41% dalam KL City Gateway Sdn Bhd.

 

Dengan peningkatan pegangan itu, KL City Gateway Sdn Bhd kini akan diklasifikasikan sebagai subsidiari Sunsuria, sekali gus membolehkan kumpulan tersebut mempunyai kawalan lebih besar terhadap pelaksanaan projek.

 

Baki 39% pegangan dalam syarikat berkenaan kekal dimiliki oleh pemegang saham lain yang turut terlibat dalam perjanjian pemegang saham sedia ada.

 

KL City Gateway merupakan pembangunan bersepadu seluas 9.66 ekar yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan konsep pembangunan bercampur melibatkan komersial, kediaman dan ruang hijau.

 

Projek itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM2.75 bilion bagi fasa pertama, yang melibatkan empat plot pembangunan serta ruang hijau khusus.

 

Pembangunan berkenaan juga dirancang sebagai projek berorientasikan transit dengan kemudahan akses terus ke Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), selain berada berhampiran kawasan KLCC.

 

Antara komponen utama projek termasuk 640 unit suite komersial moden yang disasarkan untuk kegunaan penginapan jangka pendek serta perniagaan, selain unit kediaman yang ditawarkan kepada pemilik sedia ada yang layak.

 

Sunsuria berkata pengambilalihan ini dijangka membolehkan kumpulan mempercepatkan pelaksanaan projek serta meningkatkan nilai jangka panjang melalui kawalan operasi yang lebih berkesan terhadap pembangunan berkenaan. - DagangNews.com