KUALA LUMPUR 25 Jun — Sun Life Malaysia melantik Ho Teck Seng sebagai Presiden dan Ketua Negara yang baharu bagi Malaysia berkuat kuasa 1 Julai 2025.
Beliau juga dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia Assurance Berhad dan menggantikan Raymond Lew, yang akan bersara pada 30 Jun 2025.
Kumpulan itu berkata, dengan lebih 30 tahun pengalaman, beliau dijangka membawa kepimpinan luas dan kepakaran yang pelbagai merentasi institusi insurans.
"Latar belakangnya meliputi pengedaran, operasi, transformasi digital, pengalaman pelanggan dan pengurusan kewangan," kata Sun Life Malaysia dalam kenyataan.
Sebelum itu, Teck Seng berkhidmat sebagai Pengarah Presiden Sun Life Indonesia, yang berperanan mengembangkan pertumbuhan perniagaan dan pembangunan strategi keseluruhan.
Beliau mula menyertai syarikat itu pada 2013 sebagai Ketua Pegawai Operasi sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif pada 2016.
Sementara itu, Pengerusi Sun Life Malaysia, Datuk Noorazman Abd Aziz berkata, kepakaran industri Teck Seng menjadikannya pemimpin ideal untuk mengemudi syarikat.
Selain itu, bakat kepimpinan dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pengalaman pelanggan diharap memajukan kumpulan itu ke fasa pertumbuhan seterusnya.
"Lembaga Pengarah yakin Sun Life Malaysia akan terus mengukuhkan kedudukan sebagai rakan kongsi insurans dan takaful dipercayai dalam membantu rakyat mencapai keselamatan kewangan dan kesejahteraan di bawah pengawasannya," katanya. - DagangNews.com








