KUALA LUMPUR 24 Feb — Sun Bus Tech Sdn Bhd yang berpangkalan di Senai, Johor bakal mencipta sejarah tersendiri apabila mengambil langkah ke arah usaha pembekalan bas awam jenis kenderaan elektrik (EV) yang dijadualkan bermula pada tahun ini.
Perkara berkenaan didedahkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam hantaran video menerusi platform X beliau mengenai perancangan jangka panjang syarikat pengeluar bas ternama tempatan itu.
"Dengan penggunaan teknologi EV dan inovasi secara berterusan, Sun Bus Tech membuka jalan untuk masa depan pengangkutan awam yang lebih mampan di Malaysia," katanya sambil berharap lebih banyak syarikat tempatan mengikut jejak mereka.
Syarikat berkenaan ditubuhkan oleh Phang Sun Wah yang juga pengerusinya pada awal dekad 1970-an, dan adalah anak syarikat Sun Wah Group serta telah membuka kilang terbaharunya lebih moden di kawasan Senai Airport City pada 11 Oktober 2024.
Fasiliti tersebut dilaporkan turut mendapat kerjasama daripada pengeluar EV terkenal global, Foxtron selain dilengkapi teknologi terkini bas yang lebih mesra alam melalui perkongsian kepakaran dengan syarikat HESS dan Scania dari Sweden.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut memuji usaha pengeluar bas berkenaan dalam penerokaan teknologi baharu malah gembira apabila Sun Bus Tech telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa secara besar-besaran sejak beberapa tahun lalu.
“Pada 2024, sebanyak 96 peratus jualan adalah dari luar negara, dan hanya empat peratus dari Malaysia namun untuk 2025, mereka menyasarkan meningkatkan pula jualan tempatan kepada 49 peratus berbanding 51 peratus ke luar negara," katanya.
Langkah berkenaan ujar beliau, mampu memacu kemampanan pengangkutan awam di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan menuju kepada fasa peralihan kenderaan yang rendah dan sifar karbon serta akan bebas pencemaran udara menjelang 2050.
Tengku Zafrul berkata, Penguasa Pengangkutan Darat Singapura adalah salah satu pelanggan antarabangsa Sun Bus Tech dan ia membuktikan kepakaran syarikat itu memenuhi standard tinggi cukup ketat di republik berkenaan. - DagangNews.com








