Sumbangan Wilmar turun, PPB Group masih untung bersih RM638.4 juta pada 1HFY25 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sumbangan Wilmar turun, PPB Group masih untung bersih RM638.4 juta pada 1HFY25 - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 OgosPPB Group Berhad berupaya meraih keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM638.4 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H FY25).


MBSB Research berkata, perkembangan positif tersebut sebenarnya masih lagi sejajar dengan jangkaan analisis awal oleh firma penyelidikan berkenaan sendiri dan unjuran daripada konsensus pasaran.


Menurut nota kajiannya, keuntungan teras dicatatkan oleh kumpulan pengeluar makanan tersebut mewakili kira-kira 50.8% daripada unjuran setahun penuhnya dan 46.3% daripada jangkaan konsensus.


"Kami mengekalkan saranan 'neutral' ke atas kaunter ini dengan harga sasaran disemak semula kepada RM9.01, berdasarkan kepada unjuran perolehan sesaham FY25 sebanyak 88.4 sen," kata firma tersebut.


Bagaimanapun tambah MBSB Research, prospek FY25 dan FY26 kekal tidak menentu, berikutan sumbangan Wilmar yang berisiko jika kes undang-undang semasa tidak memihak dan tiada bayaran balik diterima.


Segmen bijirin dan agribisnes mencatatkan penyusutan keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM66.3 juta iaitu susut 3.1% tahun ke tahun (YoY) akibat tekanan berterusan ke atas margin penapisan.


Keuntungan segmen bagi 1HFY25, namun meningkat kira-kira 12% YoY kepada sebanyak RM191 juta, dengan disokong prestasi kukuh dalam sub-segmen tepung dan ternakan pada tempoh suku pertama.


"Segmen produk pengguna pula kekal stabil dengan keuntungan sebanyak RM2.2 juta, didorong oleh faktor pengurangan kos promosi perdagangan dan kos operasi yang lebih rendah," kata MBSB Research.


Sementara segmen pameran dan pengedaran filem pula menurut firma itu, menunjukkan peningkatan ketara dengan keuntungan sebanyak RM37.6 juta, lebih dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya.


PPB Group menyatakan, lonjakan tersebut berikutan peningkatan kutipan tiket, keuntungan konsesi serta kos operasi pawagam lebih rendah selain ketiadaan kos penutupan pawagam seperti sebelum ini.


Sumbangan keuntungan daripada syarikat sekutu, Wilmar International, susut 16.4% YoY kepada RM214.8 juta, walaupun volum jualan meningkat di kebanyakan segmen, kecuali aktiviti pemprosesan gula.


"Prestasi keuntungan secara keseluruhan adalah bercampur-campur dengan segmen makanan, perladangan dan usaha sama mencatat pertumbuhan lebih tinggi, tetapi ada pula yang merosot," kata firma itu. 


MBSB Research berkata, segmen makanan ternakan dan produk industri menjunam 29% YoY berikutan keadaan operasi dalam perniagaan minyak tropika yang mencabar, menjejaskan margin penapisan. 


Selain itu tambah firma penyelidikan berkenaan, faktor pengukuhan ringgit turut menyebabkan berlaku kerugian terjemahan tukaran asing, sekali gus menjejaskan sumbangan bersih kepada PPB Group pula.


Ia masih lagi mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut buat masa ini, namun tetap berwaspada dengan risiko terhadap sumbangan Wilmar yang akan terus dipantau rapi. - DagangNews.com