KUALA LUMPUR 13 Ogos — Pekat Group Berhad diramal mampu mencatatkan keuntungan bersih mencecah antara RM9 juta sehingga RM10 juta pada suku kedua tahun kewangan 2025, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu disebabkan sumbangan besar perolehan daripada anak syarikat dimilikinya 60 peratus, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd yang pesat berkembang.
Tambahnya, subsidiari itu ketika ini sudah pun meraih kontrak berjumlah RM260 juta daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan berpotensi meraih lebih banyak tender baharu dalam masa yang terdekat.
"Secara keseluruhan Pekat merekodkan buku tempahan lebih RM600 juta dengan EPE Switchgear menjadi penggerak utama melalui pelbagai segmen komersial dan industri," kata MBSB Research dalam notanya.
Subsidiari itu mencatatkan hasil sebanyak RM27.9 juta pada 1QFY25, membentuk 18.6 peratus daripada pendapatan kumpulan pada tempoh suku tersebut selain sumbangan menerusi beberapa lagi segmen lain.
Sementara itu tambahnya, kumpulan tersebut sedang melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10 peratus, terutamanya untuk perbelanjaan modal bagi projek solar fotovoltaik semasa dan akan datang.
Dengan mengandaikan senario maksimum, MBSB Research menjangkakan pencairan perolehan sesaham Pekat pada FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak -9.5% dan -8.7% kepada kira-kira 5.7 sen dan 6.3 sen.
"Pekat akan mengumumkan keputusan 2QFY25 pada 22 Ogos 2025, dan kami meramalkan keuntungan bersih terasnya kira-kira dua kali ganda daripada apa dicapai pada 2QFY24 iaitu RM4.6 juta," katanya.
Unjuran itu tambah firma tersebut, selaras dengan pelancaran skim Solar Berskala Besar (LSS) dan dasar agresif kerajaan, menerusi projek LSS5 yang sedang berjalan serta LSS5+ dan LSS6 akan datang.
Justeru, MBSB Research melihat prospek kumpulan berkenaan kekal cerah pada suku akan datang, di samping perniagaan berprestasi kukuh disebabkan pertumbuhan dalam projek pembangunan pusat data.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' ke atas Pekat dengan harga sasaran yang juga tidak berubah kepada RM1.86 sesaham. - DagangNews.com








