Sum Technology meterai perjanjian taja jamin bersama Malacca Securities menjelang IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sum Technology meterai perjanjian taja jamin bersama Malacca Securities menjelang IPO di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 April – Sum Technology Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan Malacca Securities Sdn Bhd menjelang penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Sum Technology merupakan syarikat  yang terlibat dalam reka bentuk dan pembinaan bilik bersih, persekitaran terkawal serta sistem mekanikal, elektrikal, proses utiliti dan perlindungan kebakaran (MEPF) bagi kemudahan kritikal.

 

Kumpulan itu turut terlibat dalam sistem mekanikal, pengudaraan dan penyaman udara (MVAC), termasuk pengeluaran unit pengendalian udara (AHU) di bawah jenama proprietari MAC, selain aktiviti perdagangan produk MVAC dan panel solar fotovoltaik.

 

Dalam aspek teknikal, Sum Technology mampu menyokong pembangunan bilik bersih daripada ISO Class 2 hingga ISO Class 9, menjadikannya antara penyedia perkhidmatan yang memenuhi piawaian ketat industri berteknologi tinggi.

 

Syarikat ini berkhidmat kepada pelbagai industri termasuk semikonduktor, pusat data, elektrik dan elektronik, automotif, bateri kenderaan elektrik serta sektor pengguna, dengan operasi utama di Malaysia dan Filipina.

 

Selain itu, kumpulan ini turut mempunyai kehadiran di beberapa pasaran antarabangsa termasuk Taiwan, Singapura, Indonesia, Australia, Bangladesh dan India, sejajar dengan usaha pengembangan serantau syarikat.

 

Cadangan IPO Sum Technology melibatkan terbitan 117 juta saham baharu, bersamaan 26 peratus daripada jumlah saham terbitan selepas penyenaraian.

 

Daripada jumlah tersebut, 22.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 4.5 juta saham kepada pengarah, pekerja dan individu yang layak, manakala 33.75 juta saham ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan 56.25 juta saham kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

 

Di bawah perjanjian itu, Malacca Securities akan menjamin sebanyak 27 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta kumpulan pengurusan, pekerja dan individu yang layak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sum Technology, Lee Thiam Hing berkata pemeteraian perjanjian ini merupakan pencapaian penting dalam perjalanan syarikat menuju penyenaraian di pasaran awam.

 

Beliau berkata IPO tersebut akan memperkukuh kedudukan kewangan syarikat, mempercepatkan pelan pengembangan, meningkatkan keupayaan kejuruteraan serta membolehkan kumpulan memanfaatkan peluang dalam industri pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor dan pusat data.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei pula berkata pihaknya berbangga dapat menyokong Sum Technology yang mempunyai keupayaan teknikal kukuh serta rekod prestasi stabil dalam penyediaan sistem bersepadu untuk projek industri.

 

Menurut beliau, IPO ini akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan strategi pertumbuhan dan memperkukuh kedudukan pasaran syarikat dalam industri berkaitan.

 

Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, pembukaan pejabat baharu di Filipina, aktiviti reka bentuk dan pembangunan serta keperluan modal kerja kumpulan.

 

Selepas penyenaraian, Sum Technology merancang untuk terus memperluas operasi serantau, meningkatkan keupayaan pelaksanaan projek serta mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian bagi kemudahan kritikal berteknologi tinggi. - DagangNews.com