Sukuk sulung MR DIY terlebih langgan 6.5 kali cerminkan keyakinan pelabur institusi, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sukuk sulung MR DIY terlebih langgan 6.5 kali cerminkan keyakinan pelabur institusi, kata MBSB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Mei — Terbitan sukuk sulung MR DIY Group (M) Berhad menerima sambutan luar biasa apabila terlebih langgan sehingga 6.5 kali dan berjaya mengumpul RM540 juta menerusi siri pertama. 


Menurut analisis MBSB Research, situasi positif tersebut mencerminkan keyakinan kukuh para pelabur institusi terhadap kekuatan kewangan dan prospek jangka panjang kumpulan peruncitan berkenaan.


Berdasarkan kepada perkembangan tersebut, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.13 sesaham.


"Kami mendapati pelabur optimis terhadap usaha MR DIY menerbitkan Sukuk Wakalah bernilai RM5 bilion itu melibatkan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP)," katanya.


Sukuk itu ujarnya, ditawarkan pada kadar 3.83% bagi tempoh tujuh tahun dan 3.92% untuk 10 tahun, sekali gus menawarkan kos pembiayaan yang lebih rendah berbanding pinjaman sedia ada kumpulan.


MBSB Research menambah, pelabur yang dikenal pasti mengambil bahagian dalam sukuk berkenaan terdiri daripada dana pencen, pengurus aset, pengendali takaful, syarikat insurans dan institusi kewangan.

 

MR DIY_DagangNews


Jelas firma penyelidikan itu, hasil terbitan sukuk MR DIY itu akan digunakan terutamanya untuk membiayai semula pinjaman sedia ada, perbelanjaan modal, modal kerja serta tujuan korporat am.


"Langkah ini dilihat sebagai pengurusan modal berhemat kerana mengukuhkan fleksibiliti kewangan dan memperbaiki profil pembiayaan melalui tempoh matang panjang dan kos lebih rendah," katanya lagi.


Di samping itu ujar MBSB Research, terbitan sukuk tersebut juga menyokong peralihan MR DIY ke arah struktur pembiayaan yang lebih patuh syariah, sekali gus dapat meyakinkan pelabur beragama Islam.


Berdasarkan anggaran firma berkenaan, langkah syarikat peruncitan itu akan meningkatkan gearan kasar kumpulan tersebut kepada 0.25 kali, namun kedudukan gearan bersih kekal dalam tunai bersih.


Platform sukuk ini memberi akses lebih fleksibel kepada pasaran modal ketika MR DIY mempercepatkan perluasan rangkaian cawangan termasuk format pertumbuhan tinggi seperti MR DIY PLUS dan KKV.


"Kami kekal positif terhadap prospek jangka sederhana kumpulan, disokong kedudukan dominan segmen peruncitan nilai, skala operasi besar dan corak pengguna kepada perbelanjaan berjimat," katanya.


MBSB Research turut menjangka pengembangan rangkaian kedai, peningkatan produktiviti dan kelebihan skala perolehan akan terus menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan tersebut. - DagangNews.com