KUALA LUMPUR 9 Jan – Anak syarikat Kobay Technology Berhad, Kewjaya Sdn Bhd sudah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM6.88 juta bagi suku kedua tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Pembiayaan tersebut katanya, diberikan dalam urusan perniagaan biasa syarikat itu sebagai pemberi pinjaman sah yang berlesen, melibatkan pinjaman bercagar sepenuhnya kepada syarikat dan individu.
Tambah kumpulan berkenaan, daripada jumlah keseluruhan itu, pinjaman kepada individu dicatatkan berjumlah RM4.94 juta, manakala sebanyak RM1.93 juta lagi disalurkan kepada beberapa syarikat.
"Bagaimanapun, tiada langsung pinjaman yang diberi kepada mana-mana syarikat dalam kumpulan Kobay atau pihak berkaitan pada tempoh itu," jelasnya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Ia turut memaklumkan yang setakat 31 Disember 2025, Kewjaya merekodkan belum ada lagi sebarang pinjaman diklasifikasikan sebagai gagal bayar oleh peminjam bagi tempoh tiga bulan atau lebih.
Perkembangan positif tersebut tambahnya, menjadikan nisbah pinjaman bermasalah kepada jumlah pinjaman adalah kekal pada sifar, sekali gus membuktikan komitmen peminjam melunaskan hutang.
Lima pinjaman terbesar diuruskan oleh Kewjaya sejak ditubuhkan Kobay pada 2002, melibatkan kemudahan pinjaman berjangka dengan baki tertunggak serendah RM986,000 hingga RM1.36 juta.
"Kesemua pembiayaan besar ini, disokong kukuh pelbagai cagaran dengan nilai antara RM1.56 juta hingga RM3.2 juta, serta pelaksanaan tempoh pembayaran balik sehingga 360 bulan," jelasnya.
Justeru, ia menegaskan yang penyediaan perkhidmatan bantuan kewangan ini langsung tidak memberi kesan material ke atas pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap hutang kumpulan itu.
Sebaliknya operasi semasa Kewjaya itu adalah masih kekal selari dengan rangka kerja pengurusan risiko kumpulan berkenaan yang cukup teliti serta berhemat dalam jangka pendek dan panjang.
Kobay yang ditubuhkan pada 1984 sebelum disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1997, merupakan kumpulan pembuatan dan rumusan kejuruteraan berpusat di Pulau Pinang. - DagangNews.com








