Subsidiari GPP Resources diperintah oleh Mahkamah Sandakan bina menara penyejuk Berkat Setia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Subsidiari GPP Resources diperintah oleh Mahkamah Sandakan bina menara penyejuk Berkat Setia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Dis - GPP Resources Berhad memaklumkan anak syarikat miliknya sepenuhnya, Green Energy Resources (GERSB), telah menerima penghakiman lalai berhubung saman sivil yang difailkan oleh Berkat Setia Sdn Bhd di Mahkamah Majistret Sandakan, Sabah.

 

Penghakiman tersebut, bertarikh 27 November 2025, diterima secara fizikal pada 23 Disember 2025. Saman itu melibatkan tuntutan yang dibawa oleh Berkat Setia, satu daripada pelanggan GERSB.

 

Mengikut perintah mahkamah, GERSB diarahkan supaya melaksanakan pemasangan menara penyejuk, termasuk semua kerja tanah, paip dan pendawaian yang berkaitan, di kilang minyak sawit plaintif dalam tempoh 14 hari dari tarikh penghakiman.

 

Selain itu, anak syarikat itu juga diperintahkan untuk membayar ganti rugi keuntungan yang hilang serta ganti rugi am, dengan jumlahnya akan ditentukan oleh mahkamah pada peringkat kemudian.

 

Mahkamah juga memerintahkan faedah statutori dan budi bicara pada kadar 5% setahun ke atas jumlah yang akan ditentukan kemudian, serta kos guaman dan perbelanjaan munasabah yang ditanggung oleh plaintif untuk mendapatkan bayaran.

 

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia, GPP Resources menyatakan syarikat kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan menilai pilihan yang tersedia sebagai tindak balas kepada penghakiman tersebut.

 

Pada peringkat ini, syarikat tidak menjangkakan penghakiman tersebut akan memberi kesan material yang buruk terhadap kedudukan kewangan atau operasi GPP Resources dan kumpulan syarikatnya. - DagangNews.com