KUALA LUMPUR 22 Julai – GDB Holdings Berhad (GDB) memperoleh kontrak bernilai RM439.4 juta bagi pembinaan projek pembangunan bercampur premium Wolo Hotel & Residences Mont Kiara.
Kontrak itu dianugerahkan oleh Magma Kiara Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Magma Group Berhad, kepada Grand Dynamic Builders Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh GDB yang dilantik sebagai kontraktor utama projek tersebut.
Pembangunan setinggi 60 tingkat itu akan merangkumi 378 unit pangsapuri servis, 98 unit suite servis, sebuah hotel 63 bilik, ruang runcit serta pelbagai kemudahan sokongan.
Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Ogos 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2030.
GDB berkata, kontrak baharu itu adalah tambahan kepada buku tempahan sedia ada yang melebihi RM620 juta setakat 31 Mac 2026, sekali gus memperkukuh aliran pendapatan kumpulan untuk tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan GDB, Andy Lai Wee Young berkata, kejayaan itu mencerminkan keupayaan syarikat dalam melaksanakan projek berskala besar mengikut standard yang ditetapkan.
Antara projek yang telah berjaya disiapkan kumpulan ialah Park Regent dan Westside III di Desa ParkCity, Menara Hap Seng 3, KL Eco City, Etiqa Tower, Metrohub 1 serta Hyatt Centric Kota Kinabalu.
Pada masa ini, GDB turut melaksanakan beberapa projek utama yang sedang berjalan lebih awal daripada jadual, termasuk KL International Hospital serta Logistics Hub Plot B di Shah Alam.
Pada Julai 2026, kumpulan turut menyiapkan Metrohub 4, sebuah hab logistik berkeluasan 1.6 juta kaki persegi di E-Metro Logistics Park, yang berjaya diserahkan 45 hari lebih awal daripada jadual asal.
Selain buku tempahan sedia ada, GDB turut mempunyai saluran tender bernilai RM10 bilion setakat 8 Julai 2026, merangkumi projek dalam sektor perindustrian, pusat data, komersial, pembangunan bercampur, infrastruktur dan kediaman. - DagangNews.com








