KUALA LUMPUR 8 Sept – Rasionalisasi subsidi bahan api yang dilaksanakan kerajaan setakat ini tidak memberi apa-apa kesan ketara terhadap kadar inflasi dan pendapatan boleh guna isi rumah.
Demikian kata Menteri Kewangan II merangkap pemangku Menteri Ekonomi, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Negara sebagai mengulas impak ke atas golongan berpendapatan B40 dan M40.
Beliau berkata, selepas penyasaran subsidi diesel bermula 10 Jun 2024, Indeks Harga Pengguna (IHP) adalah kekal stabil kepada 2.0% sehingga Julai 2024, sama seperti kadar pada Mei 2024.
Malah tambah beliau, IHP bagi segmen makanan menunjukkan berlaku penurunan kepada sebanyak 1.6%, manakala pengangkutan pula didapati hanya meningkat secara marginal kepada kira-kira 1.2%.
“Ini membuktikan langkah penyasaran subsidi tidak membebankan rakyat secara keseluruhan,” kata Amir Hamzah menjawab soalan Senator Susan Chemerai Anding berhubung isu rasionalisasi tersebut.
Mengulas lanjut kata beliau, untuk mengurangkan beban ke atas rakyat miskin susulan proses penyasaran subsidi bahan api berkenaan, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai inisiatif mitigasi.
Antaranya Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 dengan dikekalkan harga diesel RM2.15 seliter untuk logistik dan RM1.88 bagi pengangkutan awam selain pelaksanaan Program BUDI MADANI.
Ia katanya, merupakan bantuan tunai kepada pengguna B40, M40 dan usahawan kecil selain Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) masih diteruskan sebagai sokongan langsung.
"Kerajaan juga memberi bantuan tunai one-off RM100 kepada semua warganegara dewasa, penangguhan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya dan Jualan Rahmah dengan peruntukan RM600 juta," katanya.
Menjawab soalan tambahan daripada Susan berhubung status subsidi petrol RON95, Amir Hamzah menyatakan yang mekanisme pelaksanaan rasionalisasi berkenaan sedang dimuktamadkan oleh kerajaan.
Beliau menegaskan pelaksanaannya akan berteraskan pengesahan kelayakan melalui Pangkalan Data Utama (PADU), penyaluran subsidi secara fleksibel, dan sistem rayuan telus kepada yang gagal.
“Kerajaan sudah berada di fasa akhir dalam memperhalusi kriteria kelayakan. Tarikh pelaksanaan akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September 2025 dengan rakyat yang layak tidak akan terjejas,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), beliau menjelaskan pelbagai strategi bagi menangani kos sara hidup tidak terhad kepada bantuan tunai bersifat jangka pendek semata-mata.
Melalui perancangan selama lima tahun sehingga 2030 itu, pihak kerajaan kata Amir Hamzah, telah merangka reformasi yang berdasarkan kepada tiga teras utama Kerangka Ekonomi MADANI sendiri.
Ini termasuk menaikkan siling dengan menstruktur semula ekonomi ke arah berteknologi tinggi dan inovatif serta turut berusaha menaikkan lantai untuk memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
"Kerangka terakhir ialah isu tadbir urus baik yang akan meningkatkan tatakelola penyampaian perkhidmatan awam dan pengurusan fiskal serta memastikan sumber diurus berhemat," tambahnya.
Beliau sekali lagi memberi jaminan yang kerajaan MADANI akan terus memantau harga barang dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga didapati sengaja menaikkan harga tanpa justifikasi.
Kata Amir Hamzah, gabungan penyasaran subsidi, bantuan bersasar serta reformasi ekonomi ini penting untuk membina ketahanan jangka panjang rakyat dan negara. - DagangNews.com








