KUALA LUMPUR 23 Julai - CTOS Digital Bhd terus menjadi pilihan RHB Research yang mengekalkan saranan 'Beli' terhadap saham syarikat itu dengan harga sasaran (TP) baharu RM1.10, berbanding RM1.11 sebelum ini, menawarkan potensi kenaikan sebanyak 73% selain hasil dividen sekitar 6.4%.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi kewangan CTOS Digital bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H26) adalah selaras dengan jangkaan apabila merekodkan pendapatan teras sebanyak RM42.6 juta, meningkat 16% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, prestasi tersebut didorong oleh pertumbuhan hasil yang lebih kukuh merentasi semua segmen perniagaan, sekali gus mencerminkan asas operasi syarikat yang terus stabil.
"Bagaimanapun kami mengambil pendirian neutral terhadap cadangan CTOS Digital melupuskan 10% pegangan dalam Juris Technologies (Juristech).
"Kami berpandangan potensi pelupusan baki pegangan melalui tawaran awam permulaan (IPO) pada penilaian yang lebih tinggi berupaya meningkatkan nilai syarikat serta memberi tambahan potensi kenaikan kepada pemegang saham, sekali gus mengimbangi kehilangan pendapatan berulang daripada pelaburan tersebut," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
RHB Research berkata penilaian semasa saham CTOS Digital berada di bawah purata sejarah sebagai menarik, disokong oleh aliran tunai yang kukuh, hasil dividen yang kompetitif, penyambungan semula pertumbuhan serta strategi pengewangan aset bagi membuka nilai kepada pemegang saham.
Tambah firma itu lagi faktor-faktor tersebut meletakkan CTOS Digital pada kedudukan yang baik untuk meneruskan momentum pertumbuhan, walaupun syarikat sedang melaksanakan langkah penstrukturan portfolio pelaburannya.
Menjana Nilai Menerusi Pelupusan Pegangan Juristech
RHB Research cadangan CTOS Digital melupuskan 10% pegangan dalam Juristech kepada pemegang saham utamanya, Natsoft (M) pada harga RM50 juta membayangkan penilaian syarikat sebanyak RM500 juta, bersamaan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 16.7 kali.
Penilaian tersebut lebih tinggi berbanding anggaran nilainya sebanyak RM461 juta, selain melebihi penilaian RM420 juta ketika CTOS memperoleh pegangan berkenaan pada Disember 2021.
Pelupusan itu dijangka menjana keuntungan sekali sahaja sebanyak RM1.6 juta, namun akan mengurangkan sumbangan keuntungan daripada syarikat bersekutu kira-kira RM3 juta, bersamaan impak negatif masing-masing sebanyak 1.2%, 2.4% dan 2.3% terhadap unjuran pendapatan bagi FY26 hingga FY28.
Katanya, hasil daripada pelupusan itu akan digunakan untuk membayar dividen khas sebanyak 1.07 sen sesaham, manakala baki 50% lagi akan diperuntukkan bagi program pembelian balik saham.
"Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi CTOS untuk menjana nilai daripada aset bukan teras, di samping membuka laluan kepada potensi pelupusan baki 39% pegangan dalam Juristech melalui tawaran awam permulaan (IPO) atau penjualan saham dalam tempoh 18 bulan akan datang.
"CTOS juga mengekalkan opsyen pembelian semula sekiranya proses pengewangan selanjutnya tidak menjadi kenyataan," katanya.
Prospek Kekal Positif
Mengenai prospek, RHB Research berkata, selain mendapat manfaat daripada pelaksanaan Akta Kredit Pengguna 2025 yang memperluaskan akses kepada pangkalan data serta meningkatkan penembusan ke dalam segmen pasaran yang kurang diberi perhatian, CTOS turut giat memperkukuh pertumbuhan menerusi kerjasama baharu, memperdalam hubungan dengan pelanggan utama serta memperkenalkan produk digital dan analitik baharu.
Di samping itu, disiplin kawalan kos dijangka membantu mengurangkan nisbah kos kepada pendapatan (CIR) daripada sekitar 46% ketika ini kepada kira-kira 42% dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Mengambil kira kesan cadangan pelupusan tersebut terhadap unjuran pendapatan serta penilaian pegangan syarikat bersekutu, RHB Research menyemak turun sedikit harga sasaran berasaskan kaedah aliran tunai terdiskaun (DCF) kepada RM1.10 sesaham daripada RM1.11 sebelum ini.
Harga sasaran baharu itu turut mengambil kira diskaun ESG sebanyak 4%. - DagangNews.com








