KUALA LUMPUR 7 Mei – I-Berhad mencatatkan kenaikan keuntungan bersih kepada RM10.4 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 berbanding hanya RM10 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pertambahan positif ini didorong oleh penambahbaikan kos yang berkesan, pengurusan berdisiplin, serta sumbangan daripada projek pembangunan hartanah dengan mempunyai profil margin lebih tinggi.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat itu mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM12.7 juta daripada pendapatan berjumlah RM44.0 juta dalam tempoh tiga bulan berkenaan.
"Walaupun ada penyusunan semula susulan penyiapan projek utama, kualiti syarikat ini kukuh melalui peralihan model perniagaan ke arah ekosistem bandar dipacu kepintaran buatan (AI)," kata I-Berhad.
Segmen pembangunan hartanah ujarnya, mencatatkan kenaikan PBT kira-kira 21% kepada sebanyak RM5.6 juta, disokong oleh faktor jualan daripada projek bermargin tinggi seperti 8 Premier dan Twenty8.
Segmen pelaburan hartanah pula terus menjadi tunjang kestabilan dengan PBT RM6.7 juta, daripada kadar penghunian mencecah 95% di Mercu Maybank Corporate Tower dan 97% di Central i-City Mall.
Sementara itu, Pengerusi I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong menyifatan prestasi kali ini mencerminkan evolusi strategik i-City daripada hanya sebuah bandar digital kepada ekosistem AI yang hidup.
"Nilai hartanah kini bukan lagi sekadar ruang fizikal, sebaliknya berfungsi sebagai platform untuk perkhidmatan, data, dan sistem pintar melalui konsep 'AI Living' yang dilaksanakan kami," katanya.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu optimis terhadap prospek pertumbuhannya dengan baki nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM5 bilion di i-City yang memberikan kejelasan pendapatan.
I-Berhad ujarnya, akan terus memberikan tumpuan kepada inisiatif berteraskan AI jangka panjang, termasuk Pusat Pengalaman Dunia AI (AIWEC) dan model Robotik-sebagai-Perkhidmatan (RaaS).
Perkembangan tersebut dijangka memperkukuh kedudukan pasaran dan nilai aset kumpulan, sekali gus memberi hasil lebih baik kepada pengunjung fasiliti dikendalikan kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








