Straits Energy, Horizon Shipyard bekerjasama bangunkan limbungan kapal pintar berasaskan AI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Straits Energy, Horizon Shipyard bekerjasama bangunkan limbungan kapal pintar berasaskan AI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Straits Energy Resources Berhad, melalui anak syarikatnya, Straits CommNet Solutions Sdn Bhd (SCS) bersama pengendali limbungan terkemuka, Horizon Shipyard Inter Globe (M) Sdn Bhd bekerjasama membangunkan limbungan kapal pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI).


Horizon Shipyard merupakan syarikat bersekutu tidak langsung Straits dengan pegangan 20%, manakala SCS ialah entiti yang pakar dalam rumusan transformasi digital, termasuk Internet Benda (IoT), automasi, AI, dan perkhidmatan telekomunikasi.


Kerjasama ini bertujuan membangunkan limbungan kapal pintar yang mengintegrasikan kuasa solar, sistem pemantauan keselamatan AI dan dron, sistem ERP dan CRM, serta sistem analitik pintar.


"Projek ini akan membolehkan Horizon Shipyard mengautomasikan pengumpulan data visual penting serta menggunakan AI untuk pengoptimuman proses, pengesanan anomali secara ramalan dan peruntukan sumber strategik, seterusnya meningkatkan kecekapan operasi dan kecekapan tenaga," katanya dalam kenyataan.


SCS akan bertindak sebagai penyedia utama peralatan dan rumusan teknologi untuk projek ini, yang dijangka melonjakkan produktiviti limbungan dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pembinaan kapal di Asia.


Ketua Pegawai Eksekutif Straits CommNet Solutions, Sunny Ho Khin Choy berkata, kerjasama ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memajukan industri maritim negara menerusi rumusan digital revolusi perindustrian (IR) 4.0.


"Dengan pelaburan dalam industri pembinaan kapal Malaysia yang meningkat dari RM65.8 juta pada 2021 kepada RM363 juta pada 2022, kami yakin ini adalah masa terbaik untuk memperluaskan penawaran Smart Shipyard kami,” katanya.


Sunny menambah bahawa projek ini sejajar dengan pelan strategik kumpulan untuk memperluas sektor telekomunikasi dan perkhidmatan rangkaian sebagai pemacu pertumbuhan utama.

 

Sunny
SUNNY HO KHIN CHOY


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Horizon Shipyard, Datuk Mark Kuang Chia Chun berkata, transformasi digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan.


"Dengan integrasi sistem pintar, kami berhasrat mengendalikan projek kompleks dengan lebih pantas, selamat dan ceka,” katanya. 


Tambah beliau, Horizon komited untuk menjadi antara perintis Limbungan Pintar di Malaysia, sekali gus memacu daya saing sektor pembinaan kapal negara di peringkat global.


SCS merupakan syarikat milik 70% oleh Straits Technology Solutions Sdn Bhd, yang dimiliki 75% oleh Straits Energy Resources Berhad.


Syarikat ini turut terlibat dalam pembangunan rangkaian telekomunikasi 4G dan 5G, sekali gus memperkukuh infrastruktur digital negara. - DagangNews.com