KUALA LUMPUR 13 April — Sektor perladangan negara kini berdepan dinamik luar jangka apabila stok minyak sawit Malaysia menjunam ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan, menurut penganalisis.
Perkembangan ini dilihat sebagai petanda awal kemungkinan gangguan bekalan serantau lebih serius, dan menyokong prospek harga jangka pendek, meskipun berdepan risiko kos dan ketidaktentuan global.
Public Investment Bank (PublicInvest) dalam nota analisisnya berkata, inventori minyak sawit Malaysia didapati merosot kira-kira 16% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.2 juta tan pada Mac 2026.
"Ini merupakan paras paling rendah dicatatkan sejak Mac 2023, didorong oleh faktor lonjakan secara ketara dalam permintaan eksport ke pasaran seluruh dunia," kata firma penyelidikan tersebut hari ini.
Eksport naik 41% MoM kepada 1.6 juta tan, kenaikan tertinggi sejak 2018; dengan permintaan kukuh dari pasaran utama seperti China, Kesatuan Eropah (EU), India, Timur Tengah dan Amerika Syarikat (AS).
Ujar PublicInvest, peningkatan ini berpunca daripada aktiviti ‘stockpiling’ oleh negara pengguna utama bagi menghadapi risiko gangguan bekalan akibat konflik geopolitik khususnya di Timur Tengah.
Pada masa sama, harga minyak sawit mentah (MSM) naik lebih 19% pada Mac 2026, disokong kenaikan harga minyak mentah dan kos penghantaran, serta meningkatkan daya tarikan biodiesel berasaskan sawit.
“Bekalan eksport serantau dijangka terus kurang apabila negara pengeluar utama seperti Indonesia dan Thailand memberi keutamaan kepada program biodiesel domestik masing-masing,” kata firma itu.
Justeru, PublicInvest mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor ini dengan unjuran harga MSM pada RM4,400 satu tan, selain menjangkakan paras stok menghampiri 2 juta tan dalam dua bulan.

Sementara itu, MBSB Research menegaskan harga MSM kekal kukuh disokong sentimen pasaran tenaga global, dengan purata harga mencecah RM4,321 satu tan dicatatkan pada Mac 2026, meningkat 6% MoM.
Firma itu menjangkakan harga terus mencatat kenaikan sederhana kepada RM4,437 satu tan pada April 2026, dipacu pengeluaran bermusim yang lebih rendah serta sokongan harga minyak mentah Brent.
"Ketegangan geopolitik turut memperkukuh ekonomi biodiesel melalui penyempitan jurang harga minyak sawit dan gasoil (POGO), sekali gus menyokong permintaan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dari sudut bekalan ujar MBSB Research, pengeluaran MSM meningkat 7.2% MoM kepada 1.38 juta tan, namun masih terjejas oleh isu cuaca kering di Semenanjung Malaysia dan aktiviti penanaman semula.
Stok akhir pula jelas firma penyelidikan tersebut, didapati susut kepada 2.27 juta tan, selari dengan peningkatan eksport dan permintaan bermusim sempena dengan Ramadan dan sambutan Aidilfitri.
Bagaimanapun, ia memberi amaran berhubungan tekanan kos dijangka meningkat pada tempoh separuh kedua 2026, didorong faktor kenaikan harga baja global dan kos logistik yang berkaitan diesel.
“Walaupun prospek harga positif, ketidaktentuan permintaan dan peningkatan kos input menjadikan pandangan ke atas sektor ini lebih bersifat taktikal berbanding fundamental,” kata MBSB Research.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan penarafan ‘positif’ secara taktikal dengan unjuran purata harga MSM bagi tahun ini disemak kepada RM4,300 satu tan, dengan fasa sokongan harga kukuh.
Sektor perladangan ujarnya, teguh susulan penyusutan stok dan faktor geopolitik, namun pelabur kena berwaspada terhadap risiko kos serta ketidaktentuan permintaan global jangka sederhana. - DagangNews.com








