KUALA LUMPUR 24 April — Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikatnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) menerima kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan untuk tempoh tiga tahun.
Pembekal perkhidmatan serta peralatan sektor minyak dan gas (O&G) tempatan itu berkata, kontrak berkenaan diterima oleh syarikat tersebut pada 7 April 2025 dengan melibatkan dua pakej yang berbeza.
SHESB katanya, berperanan untuk kerja-kerja penyediaan pembaikan dan penyelenggaraan struktur zon percikan untuk Pakej A yang membabitkan aset-aset PCSB di Semenanjung Malaysia manakala Pakej B pula di Sarawak.
"Tempoh kontrak berkenaan selama tiga tahun yang bermula pada 12 April 2025 serta atas dasar panggilan keluar yang tidak mempunyai apa-apa nilai kontrak tetap," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.
Berdasarkan perkara tersebut, syarikat itu ditugaskan oleh PCSB untuk menyediakan semua perkhidmatan yang ditentukan pelanggannya dalam tempoh kontrak dan apabila perkhidmatan berkenaan diperlukan.
Selain itu kata Steel Hawk, kontrak tersebut tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas jumlah modal saham dan struktur pegangan saham syarikat bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025.
"Kontrak itu juga dijangka tidak ada sebarang kesan material ke atas aset bersih Steel Hawk dan anak syarikatnya namun diunjur mampu menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada FY25," katanya.
Ia turut tidak mendedahkan syarikat itu kepada sebarang risiko baharu yang tersendiri kerana SHESB sudah terlibat secara aktif setelah dilantik oleh PCSB sebagai kontraktor panel sehingga tahun 2030.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama atau orang yang berkaitan dengan pengarah atau pemegang saham utama Steel Hawk memiliki sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak itu.
Bagaimanapun Lembaga Pengarah syarikat tersebut berpendapat bahawa kontrak berkenaan adalah dalam urusan perniagaan biasa dan dijangka dapat memenuhi segala kepentingan Steel Hawk. - DagangNews.com








