KUALA LUMPUR 29 Ogos – Steel Hawk Berhad menerusi anak syarikatnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) meraih kontrak pemasangan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM92.7 juta.
Kumpulan kejuruteraan tersebut berkata, kerja-kerja itu diperoleh susulan pemeteraian Perjanjian Kolaborasi dengan Ibrahim & Sons Engineering Sdn Bhd (IBSE) pada 5 Ogos 2025 dalam tiga fasa.
Ia antaranya meliputi tender pemasangan, pengujian dan pentauliahan kabel 11kV jenis aluminium XLPE bagi pembangunan aset seluruh zon untuk syarikat utiliti berkenaan yang berjumlah RM20.7 juta.
"SHESB juga akan melaksanakan kerja serupa bagi kabel 33kV aluminium XLPE bernilai RM37.9 juta serta kontrak tambahan bagi kabel 11kV aluminium XLPE bernilai RM34.1 juta," kata Steel Hawk.
Kerja-kerja berkenaan akan dilaksanakan oleh IBSE selaku kontraktor utama, manakala SHESB akan membekalkan sebahagian tenaga kerja di tapak dan modal kerja bagi menyokong pelaksanaan projek.
Tambahnya, projek ini tidak melibatkan perubahan struktur modal atau pegangan saham syarikat, dan dijangka menyumbang positif pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Steel Hawk dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia mengesahkan, tiada penglibatan kepentingan oleh mana-mana pengarah, pemegang saham utamanya atau pihak berkaitan dengan perjanjian berkenaan.
"Projek terbaharu TNB yang diterima oleh anak syarikat kumpulan ini juga tidak tertakluk kepada sebarang kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia berkaitan," katanya.
Lembaga Pengarah tambahnya, menegaskan bahawa perjanjian kolaborasi ini adalah turut selari dengan operasi perniagaan teras syarikat dan wajar diteruskan demi kepentingan terbaik kumpulan itu.
Perjanjian ini mencerminkan keupayaan Steel Hawk untuk terus terlibat dalam projek tenaga strategik negara serta memperkukuh kehadiran dalam segmen infrastruktur elektrik bertekanan tinggi. - DagangNews.com








