KUALA LUMPUR 13 Nov – Steel Hawk Berhad menerima kontrak bernilai RM35.04 juta daripada Binalite Electrical Engineering Sdn Bhd bagi projek sambungan elektrik 275kV ke sebuah pusat data (DC).
Menurut kumpulan berkenaan, tender dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuhnya, Steel Hawk Engineering Sdn Bhd (SHESB) dengan melibatkan fasiliti di Wilayah Selatan Semenanjung Malaysia.
Kontrak tersebut tambah syarikat kejuruteraan itu, telah diserahkan pada 12 November 2025, dengan tempoh pelaksanaan kerja selama lapan bulan, bermula pada 12 November 2025 hingga 11 Julai 2026.
"Ia berasaskan jumlah nilai tetap dan dijangka menyumbang positif kepada keuntungan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025," kata Steel Hawk dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun jelas kumpulan tersebut, projek terbaharu yang dilaksanakan subsidiarinya itu tidak pula akan memberi sebarang kesan material kepada modal saham dan struktur pegangan saham syarikat.
Lembaga Pengarah katanya, turut menegaskan yang kontrak ini tidak mendedahkan syarikat kepada apa-apa risiko baharu, memandangkan Steel Hawk berpengalaman dalam perkhidmatan kejuruteraan tenaga.
Selain itu tambahnya lagi, tiada mana-mana pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan yang mempunyai hubungan kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
“Di samping itu, Lembaga Pengarah berpendapat yang kontrak ini adalah sebahagian daripada aktiviti perniagaan biasa syarikat dan sejajar dengan kepentingan terbaik Steel Hawk sendiri,” jelas kenyataan itu.
Justeru katanya, tiada keperluan untuk kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia, namun kontrak ini menambah kepada portfolio kerja berimpak tinggi dalam sektor prasarana tenaga.
Perkembangan itu juga tambahnya, mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai rakan kejuruteraan utama dalam pembangunan DC dan sambungan elektrik berkapasiti besar di Malaysia. - DagangNews.com








