Steel Hawk lantik bekas CEO PETRONAS Chemicals Fertiliser Kedah, Ts Noor Arifin anggotai Lembaga Pengarah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Steel Hawk lantik bekas CEO PETRONAS Chemicals Fertiliser Kedah, Ts Noor Arifin anggotai Lembaga Pengarah

Ts. Noor Arifin Othman
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Steel Hawk Berhad mengumumkan pelantikan Ts. Noor Arifin Othman sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif yang bertujuan memperkukuhkan lagi kepakaran lembaga pengarah dalam menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Pengarah Eksekutif Steel Hawk Berhad, Datuk Sharman Kristy Michael berkata pelantikan tersebut mencerminkan usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan skala operasi, kecekapan pelaksanaan projek serta pengukuhan portfolio perkhidmatan, khususnya dalam sektor minyak dan gas yang semakin kompetitif.

 

“Ts. Noor Arifin membawa pengalaman luas selama kira-kira 34 tahun dalam kumpulan PETRONAS, merangkumi sektor gas, utiliti, baja dan petrokimia, menjadikan beliau antara tenaga profesional berpengalaman dalam industri tenaga negara.

 

“Sepanjang kerjaya beliau, Ts. Noor Arifin telah terlibat dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan loji, penyelenggaraan, pelaksanaan projek, perolehan serta transformasi organisasi, selain menyumbang kepada penambahbaikan operasi di peringkat korporat,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Reka Bentuk di California, Amerika Syarikat pada tahun 1990 sebelum menyertai PETRONAS Gas Berhad pada tahun 1991, di mana beliau berkhidmat selama 18 tahun dalam pelbagai jawatan teknikal dan pengurusan.

 

Antara pencapaian utama beliau ialah penglibatan dalam pembangunan Kompleks Petrokimia Bersepadu Kerteh, termasuk kerja-kerja pembinaan dan pentauliahan kemudahan utiliti berkaitan yang menjadi asas kepada operasi industri petrokimia negara.

 

Selain itu, beliau turut memainkan peranan dalam inisiatif penambahbaikan prestasi operasi bersama firma perunding antarabangsa McKinsey & Company, yang memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan dan keberkesanan operasi.

 

Jawatan kepimpinan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Loji di PETRONAS Chemicals Fertiliser Kedah Sdn Bhd dari 2018 hingga 2023, di mana beliau mengetuai transformasi organisasi berskala besar.

 

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya mencapai tahap kebolehpercayaan loji sebanyak 100 peratus pada tahun 2019 serta mempelopori penyertaan loji dalam program perintis Pengawalseliaan Kendiri oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

 

Steel Hawk menyifatkan pelantikan ini sebagai tepat pada masanya, khususnya ketika syarikat sedang memperkukuh momentum pertumbuhan melalui beberapa kontrak strategik dan pengembangan operasi di dalam serta luar negara.

 

Dengan pengalaman luas Ts. Noor Arifin dalam kecemerlangan operasi dan integriti aset, Steel Hawk yakin beliau akan memberi sumbangan signifikan dalam memperkukuh strategi korporat serta menyokong aspirasi syarikat untuk berkembang lebih jauh dalam sektor tenaga.- DagangNews.com