KUALA LUMPUR 15 Okt – Steel Hawk Berhad perlu mampu mengharungi banyak halangan semasa melalui kepelbagaian strategi syarikat ke dalam segmen utiliti dan infrastruktur, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan itu dinilai harus menempuhi cabaran besar seperti risiko kelewatan tempahan kerja serta rekod prestasinya kurang dalam sektor bukan minyak dan gas (O&G).
Dalam laporan liputan pertamanya ke atas syarikat berkenaan, ia menggariskan tiga risiko utama, antaranya risiko pelaksanaan projek berskala besar dan kekangan pengalaman sektor yang bukan O&G sendiri.
"Kelewatan tempahan kerja daripada pelanggan utama seperti PETRONAS juga memberi risiko dan semua ini perlu ditangani proaktif agar momentum pertumbuhan tidak terjejas," kata nota TA Securities.
Tambah firma berkenaan, segala halangan tersebut namun perlu ditempuhi terutama ketika Steel Hawk yang sedang dalam peralihan ke fasa pertumbuhan baharu dengan menceburi pula sektor kejuruteraan.
Bagaimanapun, ia tetap juga menyarankan 'beli' dan harga sasaran 31 sen sesaham, berikutan potensi jangka panjang disokong oleh kontrak baharu bernilai tinggi dan pelaksanaan strategi yang agresif.
Kumpulan itu kata TA Securities, yang sudah terkenal sebagai kontraktor lapangan O&G, kini mula aktif melebarkan sayap melalui segmen kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
"Kami difahamkan Steel Hawk sudah memulakan dengan kontrak pemasangan kabel bawah tanah bernilai RM92.7 juta untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah program bernilai RM42.8 bilion," katanya.
Segmen baharu ini diunjurkan menyumbang lebih 60% daripada pertumbuhan pendapatan kumpulan mulai tempoh 2H25, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada industri O&G yang semakin perlahan.
TA Securities menambah, dengan lebih 70% daripada tender buku bernilai RM850 juta melibatkan projek bukan O&G, hala tuju kepelbagaian syarikat itu mula semakin jelas dan lebh meyakinkan.
Meskipun berlaku kelewatan dalam tempahan kerja oleh PETRONAS sejak suku lalu, Steel Hawk masih mengekalkan sejumlah 17 kontrak aktif dengan anak-anak syarikat syarikat minyak negara tersebut.
"Beberapa kontrak berlangsung hingga 2030, yang menjamin kestabilan pendapatan asas. Dalam tempoh tiga tahun lalu, untung bersih telah lebih tiga kali ganda kepada RM14.8 juta pada FY24," katanya.
Perkembangan positif itu jelas TA Securities, dipacu pertambahan kerja dan kecekapan kos, manakala
untuk FY25F, margin dijangka normal pada 10% berikutan pelaksanaan kerja TNB dengan kos tinggi.
Margin yang dicatatkan oleh Steel Hawk berkenaan namun diramal kembali stabil sekitar 10.5% dalam tempoh FY26 hingga FY27 menerusi pelbagai langkah kecekapan operasi dan skala ekonomi lebih besar.
Syarikat itu juga katanya, dalam proses menyiapkan terbitan khas hingga 70 juta saham Bumiputera, yang dijangka berupaya meraih RM21 juta untuk membiayai modal kerja dan pembayaran balik pinjaman.
"Ini akan menurunkan nisbah hutang bersih kepada hanya 0.2 kali, sekali gus memperkukuh kedudukan kewangan kumpulan berkenaan di bawah kepimpinan Datuk Sharman Kristy Michael," kata TA Securities
Ia turut memberikan penarafan empat bintang untuk amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), menghargai inisiatif Steel Hawk terutama isu pengurangan intensiti tenaga. - DagangNews.com








