KUALA LUMPUR 29 Ogos – Berjaya Corporation Berhad (BCorp) merekodkan kerugian sebelum cukai RM270 juta bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2025, sebahagian besarnya disumbang oleh kerugian tidak tunai daripada operasi Starbucks Malaysia, di bawah segmen makanan Berjaya Food.
Prestasi kumpulan dalam suku ini juga terjejas berbanding tempoh sama tahun sebelumnya yang mencatatkan kerugian sebelum cukai RM96.28 juta, walaupun merekodkan pendapatan RM2.37 bilion, hanya sedikit menurun berbanding RM2.46 bilion tahun lalu.
Segmen makanan dan minuman (F&B) menyaksikan Starbucks mencatat pengurangan hasil akibat bilangan cawangan berkurangan, disusuli kerugian sebelum cukai lebih tinggi kerana aset cawangan bermasalah, manakala penutupan operasi Papa John’s di Filipina turut menyumbang penurunan tahunan kumpulan.
"Sementara segmen runcit bukan makanan pula yang antaranya melibatkan Cosway mencatatkan margin keuntungan kasar lebih baik hasil campuran produk lebih menguntungkan serta faktor pengurangan kos operasi," kata BCorp dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun pendapatan menurun akibat penutupan kedai tidak menguntungkan di luar negara dengan HR Owen pula terkesan daripada jualan kereta baharu yang perlahan, perubahan struktur pengedaran pengeluar serta kos pemasaran yang tinggi.
Dalam pada itu, segmen hospitaliti pula menyumbang pendapatan dan keuntungan lebih tinggi berikutan kadar penginapan lebih baik manakala segmen hartanah encatat kerugian pra-cukai lebih rendah hasil jualan unit kediaman tempatan dan pembalikan lebihan peruntukan perbelanjaan operasi.

Segmen perkhidmatan melalui STM Lottery mencatat pendapatan tinggi tetapi keuntungan pra-cukai lebih rendah disebabkan bayaran hadiah lebih tinggi dan perbelanjaan tanggungjawab sosial korporat," kata kumpulan berkenaan.
Begitu juga segmen perniagaan telekomunikasi yang mengalami kerugian akibat pendapatan menurun dan penyusutan kontrak, manakala perniagaan broker saham serta pengurusan dana turut catat kerugian berikutan penyusutan pendapatan dan kos operasi lebih tinggi.
"Secara keseluruhan, untung operasi meningkat kepada RM89.84 juta berbanding RM66.69 juta tahun sebelumnya, tetapi kerugian sebelum cukai disumbang oleh perbelanjaan pelaburan bersih yang tinggi termasuk faktor aset tidak berprestasi berjumlah RM323.16 juta.
Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, BCorp mencatat pendapatan RM9.34 bilion, susut daripada RM10.09 bilion tahun sebelumnya.
Kerugian pra-cukai RM419.48 juta dicatat berbanding keuntungan RM619.97 juta pada tahun lalu, yang disokong oleh keuntungan luar biasa daripada pelupusan anak syarikat dan penilaian semula kepentingan ekuiti.
Kumpulan tersebut menambah, segmen hospitaliti dan loteri didapati masih lagi mencatat peningkatan, manakala segmen makanan dan hartanah pula merekodkan penyusutan ketara.
"BCorp menjangkakan pemulihan dalam perbelanjaan pengguna dan sektor pelancongan domestik akan menyokong prestasi masa depan.
"Lembaga Pengarah kumpulan kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026," katanya. - DagangNews.com








