SST diteruskan setelah diteliti kelebihan, kekurangan sistem percukaian sedia ada - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SST diteruskan setelah diteliti kelebihan, kekurangan sistem percukaian sedia ada - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Kerajaan memutuskan untuk meneruskan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan perluasan skop setelah meneliti secara mendalam kelebihan dan kekurangan sistem percukaian kepenggunaan sedia ada berbanding Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, langkah kali ini bersifat bersasar dan progresif, bertujuan memastikan beban cukai diagihkan secara adil kepada pihak yang mempunyai keupayaan membayar tanpa membebankan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

 

Tambahnya, pendekatan SST membolehkan kerajaan mengawal impak secara berkesan, berbanding GST yang lebih menyeluruh dengan melibatkan pelbagai strategi utama termasuk semakan kadar cukai jualan hanya tertumpu kepada barangan bukan keperluan.

 

"Barangan asas rakyat seperti makanan ruji, ubat-ubatan dan buku kekal dikecualikan cukai, manakala cukai perkhidmatan disasarkan kepada perkhidmatan mewah seperti yuran sekolah swasta melebihi RM60,000 setahun, sewaan bangunan komersial dan perkhidmatan kewangan berasaskan fi," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada ucapan penggulungan Usul Rancangan Malaysia Ke-13 sebagai menjawab soalan dikemukakan daripada 10 ahli Parlimen yang mencadangkan pelaksanaan semula GST selain mengulas dakwaan SST menyumbang kenaikan kos sara hidup dan membebankan rakyat.

 

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan tinggi hanya dikenakan cukai kepada bukan warganegara manakala perkhidmatan asas seperti sewaan rumah kediaman, kerja pembinaan dan perbankan asas tidak dikenakan cukai, bagi mengelak peningkatan kos sara hidup.

 

Kerajaan katanya, menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkasakan operasi penguatkuasaan bagi mencegah pencatutan harga dan berharap perluasan SST mampu menjana hasil tambahan untuk perkhidmatan awam.

 

"Ia dijangka menjana kutipan hasil tambahan RM5 bilion pada 2025 dan meningkat kepada RM10 bilion setahun penuh pada 2026 yang akan digunakan untuk peningkatan STR dan SARA kepada RM15 bilion pada 2025, berbanding RM10 bilion pada 2024," kata beliau.

 

Selain itu tambah Amir Hamzah, hasil tersebut turut digunakan untuk pembinaan 44 buah sekolah baharu pada 2025 berbanding 26 pada 2024, serta pembinaan semula 543 sekolah daif dan penyenggaraan 486 klinik daif.

 

Kerajaan turut mengambil langkah melindungi industri kecil dan sederhana serta pengguna akhir melalui ambang pendaftaran SST ditetapkan pada RM1 juta bagi pengilang atau pengimport, serta RM1.5 juta untuk sektor pembinaan dan kesihatan.

 

SST katanya, tidak dikenakan ke atas sewaan kediaman, untuk mengelakkan kesan kepada kadar sewa atau harga rumah manakala perusahaan mikro, kecil dan sederhana dengan pendapatan tahunan di bawah RM1 juta dikecualikan SST atas sewaan, walaupun pembekal berdaftar.

 

"Perluasan SST ini dilaksanakan dengan prinsip progresif, adil dan berhati-hati agar tidak membebankan rakyat, sambil memastikan Kerajaan mempunyai ruang fiskal mencukupi untuk melabur dalam pembangunan dan kebajikan rakyat Malaysia," kata Amir Hamzah. - DagangNews.com