SPRM cadang dakwa dua individu berhubung pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPRM cadang dakwa dua individu berhubung pelaburan semikonduktor bernilai RM1.1 bilion

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sidang media di Putrajaya pada Rabu 6 Mei 2026.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencadangkan pendakwaan terhadap dua individu berhubung urus niaga pelaburan bernilai RM1.1 bilion yang melibatkan Kementerian Ekonomi dan syarikat berpangkalan di United Kingdom, ARM Limited.

 

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan kini berada di peringkat akhir sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

 

Menurut beliau, setakat ini seramai 22 saksi telah dirakam keterangan, termasuk penganalisis politik, James Chai serta bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

 

“Siasatan hampir selesai. Hanya tinggal dua lagi saksi untuk dirakam keterangan, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di dalam negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

 

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan penyalahgunaan kuasa, Seksyen 420 Kanun Keseksaan (penipuan) serta Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah jenayah).

 

Azam berkata, dua individu telah dikenal pasti untuk dicadangkan pertuduhan, namun menegaskan keputusan muktamad bergantung kepada Jabatan Peguam Negara.

 

“Penyiasat boleh mengesyorkan pertuduhan sekiranya bukti memenuhi elemen kesalahan di sisi undang-undang, tetapi keputusan akhir terletak pada Peguam Negara,” jelasnya.

 

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti individu terlibat, sambil menegaskan SPRM tidak akan membuat sebarang spekulasi.

 

Dalam pada itu, Azam menegaskan bahawa fokus utama agensi itu adalah untuk menentukan kewujudan unsur jenayah dalam kes berkenaan.

 

“Sekiranya terdapat bukti mencukupi, tindakan selanjutnya akan diputuskan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

 

Sebelum ini, siasatan dilaporkan tertumpu kepada dakwaan ketidakteraturan dalam perjanjian pelaburan tersebut yang dimeterai ketika Rafizi menerajui Kementerian Ekonomi. - DagangNews.com