KUALA LUMPUR 30 April – Spritzer Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM90.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, meningkat 28% berbanding RM71.1 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi yang memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh peningkatan volume jualan, harga jualan purata (ASP) lebih baik, serta kos bahan mentah yang rendah sepanjang tahun tersebut.
Kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia turut mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM656.9 juta, meningkat kira-kira 13% daripada RM579.0 juta pada tahun kewangan 2024 (FY24).
"Keuntungan sebelum cukai (PBT) pula didapati melonjak kira-kira 52% kepada mencecah RM120.4 juta berbanding sebanyak RM79.4 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya," tambah Spritzer lagi.
Ujarnya, pertumbuhan keuntungan bersih namun sedikit rendah berbanding PBT disebabkan kadar cukai efektif yang lebih tinggi berikutan ketiadaan tuntutan elaun pelaburan semula (RA) pada 2025.
Sementara itu, segmen pembuatan masih lagi kekal sebagai penyumbang terbesar dengan hasil sebanyak RM631.7 juta, iaitu peningkatan 14%, manakala segmen perdagangan menyumbang RM23.6 juta.
Berdasarkan prestasi itu, Lembaga Pengarah Spritzer mencadangkan pengagihan dividen akhir sebanyak 5.0 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025, meningkat sedikit daripada 4.0 sen pada FY24 lalu.
"Kumpulan kini merupakan pengeluar air botol terbesar dan bersepadu di Malaysia dengan penguasaan pasaran melebihi 40%, serta kapasiti pengeluaran tahunan naik kepada 1.3 bilion liter," katanya.
Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan menjangkakan permintaan terhadap produk air botol dan minuman akan kekal stabil, didorong oleh ketahanan ekonomi domestik serta momentum pelancongan.
Spritzer juga katanya, akan terus memberikan tumpuan kepada kecekapan operasi, pengurusan kos yang berdisiplin, dan pelaburan dalam automasi untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com








