SPCAAM mahu mahkamah perusahaan ditambah baik demi keadilan 15 juta pekerja | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SPCAAM mahu mahkamah perusahaan ditambah baik demi keadilan 15 juta pekerja

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 5 Feb - Mahkamah perusahaan yang fungsi utama untuk membela pekerja secara beransur-ansur beralih imej kepada mahkamah untuk golongan kaya dengan pelbagai protokol menyusahkan buruh miskin.

 

Demikian menurut kenyataan Presiden Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM), J. Solomon yang mendesak kerajaan agar melakukan reformasi ke atas institusi perundangan tersebut.

 

“Beberapa protokol ketika ini adalah rekaan sendiri dan bersifat tegar yang tidak diamalkan pun mahkamah sivil, di sebalik fleksibiliti timbang tara industri telah lama dilaungkan malah dibahaskan parlimen sejak 1967,” katanya.

 

Beliau merujuk penggubalan rang undang-undang untuk perhubungan perusahaan dibentangkan kerajaan ketika itu ekoran kebimbangan rakyat berhubung sifat mahkamah tersebut namun sudah menjadi realiti sekarang.

 

Ujar Solomon, bukan sahaja pekerja menghadapi tekanan majikan di tempat kerja, malah suasana berkenaan menjangkau pula di mahkamah yang sepatutnya menjadi tempat untuk pekerja boleh menuntut proses keadilan.

 

Sebagai contoh jelasnya, di Kuala Lumpur, pekerja yang memasuki bangunan terletaknya mahkamah perusahaan, dia perlu merekodkan butiran di pintu masuk tetapi tiba di kamar mahkamah itu, dia kena lagi merekodkan butiran.

 

“Jika pekerja tersebut secara kebetulan memakai kasut sukan atau selipar, meraka dihalang memasuki mahkamah tersebut, bahkan ada berlaku insiden baru-baru ini, mereka dilarang masuk kerana berseluar jeans,” tambah beliau.

 

Plaintif atau si penuntut itu kata Solomon, cuma pekerja penghantaran roti yang dipecat dari Kota Bharu, Kelantan dan pada 5 September 2024, dia menempuh perjalanan tujuh jam ke Mahkamah Perusahaan di Kuala Lumpur.

 

Dia tidak dibicara di negeri itu kerana tiada mahkamah perusahaan wujud di sana dan datang bersama isteri, ibu mentua dan rakannya namun dihalang  anggota Rela memasuki ke bilik mahkamah kerana memakai seluar jeans.

 

Keluarganya dan kawannya jelas beliau, dilaporkan panik kerana tidak tahu apa perlu dilakukan sebelum plaintif memutuskan dia terpaksa meminjam sementara seluar rakannya itu demi memberi keterangan di depan hakim.

 

“Dua lelaki ini pergi ke tandas untuk bertukar seluar masing-masing dan bayangkan perasaan malu dialami pekerja itu, tidak selesa memakai seluar orang lain hanya untuk menuntut keadilan kerana dibuang kerja,” jelasnya.

 

Solomon menambah, walaupun wajar peraturan yang menggalakkan pekerja berpakaian kemas, mahkamah tidak sepatutnya mengenakan syarat ketat jenis pakaian yang patut dipakai oleh seseorang yang hadir perbicaraan.

 

Jika pihak mahkamah bertegas bahawa pekerja harus berpakaian seperti majikan, maka mereka kena memastikan pekerja dan wakil mereka tidak didiskriminasi atau ditindas hanya disebabkan gara-gara isu pakaian mereka.

 

Apa yang berlaku itu sungguh menyedihkan melihat mahkamah perusahaan beralih daripada menjalankan peranan asas dengan hati nurani baik tetapi digantikannya dengan formaliti melampau sehingga menyusahkan pekerja.

 

“Bagaimanapun ada pengerusi mahkamah yang harus dipuji kerana bertugas penuh tanggungjawab namun ada melambatkan perbicaraan kes yang dirujuk kesatuan mengenai pertikaian penting seperti perjanjian kolektif,” katanya.

 

Keadilan yang ditangguhkan tegas Solomon, adalah keadilan yang dinafikan dan Menteri Sumber Manusia juga tidak wajar ada sebarang pengaruh pun terhadap isu pelantikan pengerusi-pengerusi untuk Mahkamah Perusahaan.

 

Sebaliknya jelas beliau, satu suruhanjaya bebas harus dibentuk dengan wakil terdiri daripada komposisi badan tiga pihak yang mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Seri Paduka Baginda.

 

Seterusnya, pemilihan wakil bagi majikan dan pekerja hendaklah dilakukan oleh pemegang taruh dan diserahkan kepada suruhanjaya tersebut dengan proses pemilihan yang telus untuk pelantikan dan bukannya kuasa menteri.

 

“Ini demi memastikan berlaku pengasingan kuasa antara pihak eksekutif dan mana-mana tribunal yang membuat keputusan serta membolehkan pengerusi membuat keputusan tanpa perasaan takut atau pilih kasih,” tambah beliau.

 

Selain itu, Solomon meminta juga ada jaminan tempoh perkhidmatan untuk pengerusi tersebut kerana pada masa ini ia bersifat kontrak dan mereka kena bergantung pembaharuan secara berkala yang boleh mengekang kebebasan.

 

Kesimpulannya tegas beliau, terdapat keperluan mendesak bagi penggubal undang-undang untuk memastikan fungsi mahkamah perusahaan memainkan peranan yang selaras dengan tujuan murni asal ia ditubuhkan oleh kerajaan.

 

Institusi ini katanya, tidak wajar mencipta protokol ketat direka sendiri, meminjam madah Bhimrao Ramji Ambedkar, seorang ahli ekonomi, ahli undang-undang, pembaharu sosial India, adalah 'tiada lain selain Tatabahasa Anarki.'  - DagangNews.com